Asha mahu buktikan skuad besbol wanita negara mampu capai kejayaan di peringkat antarabangsa
Ketua pasukan besbol kebangsaan wanita, Noor Aishah Samin memberitahu bahawa tujuan utama mereka beraksi di Piala Asia adalah untuk membuktikan bahawa pasukan besbol wanita mempunyai kemampuan untuk pergi jauh dalam sukan ini.
Aishah atau mesra dengan panggilan Asha berkata beliau dan rakan sepasukannya kini dalam kem latihan pusat di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum mereka terbang ke Hong Kong pada Jumaat ini untuk mengharungi perlawanan peringkat kumpulan kelayakan Besbol Piala Dunia.
“Inilah tujuan kita ke Piala Asia sebeba nak tunjuk pasukan besbol wanita Malaysia ini boleh pergi jauh.
Jadi kami nak buka jalan, jadi bila balik Malaysia kita nak cadangkan program pembangunan khusus untuk wanita kita akan sudah boleh melihat perancangan-perancangan oleh BFM untuk bawa pasukan ke luar negara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, beliau juga berharap semakin banyak pasukan besbol wanita dapat diwujudkan bagi membolehkan mereka menganjurkan saingan liga besbol untuk wanita pula selepas ini.
Dalam pada itu, Asha juga teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan sukan besbol di Malaysia akhirnya akan mempunyai stadium mereka sendiri yang mana ia akan dibina mengikut piawaian antarabangsa.
“InsyaAllah kita akan dapat stadium besbol pertama kita tidak lama lagi. Jika ia menjadi kenyataan kita akan mula dapat mengadakan perlawanan dan menganjurkan kejohanan termasuk mengadakan klinik.
Orang yang datang juga dapat menyaksikan sendiri permainan besbol kerana ia sebuah sukan yang cukup seronok dan menarik.”
Beliau juga berharap sukan besbol ini akan mendapat sambutan daripada peminat sukan di Malaysia dan berharap ia akan menjadi popular seperti di Amerika Syarikat satu hari nanti.