Tidak pelik Akademi JDT jadi diserbu ramai kerana ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak
Baru-baru ini, tular di media sosial menunjukkan kekecohan yang berlaku ketika sesi pemilihan bakat-bakat baharu di Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 12 Mei lalu.
Selepas video tersebut tular, pihak JDT ada mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran pada hari tersebut adalah di luar jangkaan kerana ramai yang hadir disebabkan ia diadakan secara terbuka.
Kelab itu juga berkata pihaknya akan melakukan lebih banyak lagi sesi percubaan dan menghantar pencari bakat ke seluruh negara bagi memberi ramai lagi peluang untuk menunjukkan bakat mereka.
Apa yang berlaku ini sebenarnya menunjukkan kepercayaan ibu bapa serta bakat-bakat muda terhadap akademi JDT dalam membentuk masa depan mereka.
Mereka melihat bahawa JDT adalah sebuah tempat yang tepat dan terbaik untuk membentuk karier sebagai pemain bola sepak yang berjaya.
Tidak hairanlah perkara itu berlaku kerana pelbagai kejayaan yang telah dikecapinya sejak ditubuhkan dan kebolehannya melahirkan bakat-bakat muda yang kini menyinar di peringkat profesional seperti Arif Aiman, Ramadhan Saifullah, Feroz Baharudin dan Daryl Syam.
Justeru, tidak pelik sebenarnya jumlah kehadiran yang tinggi pada sesi pemilihan terbuka yang dilakukan itu berlaku.
Akademi JDT juga merupakan satu-satunya akademi milik kelab yang dianugerahkan status Akademi Dua Bintang oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah AFC Elite Youth Scheme di negara ini.
Disebabkan di negara ini tiada banyak pilihan dari segi akademi bertaraf tinggi seperti itu, orang ramai pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba nasib memasuki akademi tersebut.
Mungkin selepas insiden tersebut, pihak pengurusan akademi JDT akan melakukan inisiatif tambahan bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
Contohnya, mereka boleh menganjurkan pemilihan di seluruh negara dan menganjurkan sesi pemilihan yang terdiri daripada beberapa hari.
Ini juga dapat memberi peluang kepada akademi tersebut untuk mencungkil lebih banyak bakat di seluruh negara.
Perkara ini juga diharapkan mampu membuka mata kelab-kelab lain untuk menaikkan taraf akademi masing-masing supaya pembangunan akar umbi di negara ini lebih rancak.