Iraq ujian yang baik buat Harimau Malaya, tetapi lebih baik jika bermain di gelanggang berkecuali
Selepas undian Piala Asia 2023 dilakukan minggu lalu, rata-rata pasukan yang bertanding sedang giat menyusun perlawanan persahabatan antarabangsa untuk mempersiapkan pasukan masing-masing menjelang kejohanan itu.
Pasukan Timur Tengah, Iraq juga dilaporkan sedang cuba mendapatkan lawan yang sesuai sebagai persiapan mereka menjelang Piala Asia 2023.
Menurut laporan media tempatan, Persatuan Bola Sepak Iraq sedang melakukan perbincangan dengan dua pasukan Asia Tenggara, Malaysia dan Thailand untuk perlawanan persahabatan pada September ini.
Pada Piala Asia 2023 nanti, Iraq akan menentang dua pasukan Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Vietnam dalam kumpulan D, selain juara empat kali, Jepun.
Jadi tidak hairanlah Iraq sedang cuba mencari pasukan-pasukan besar di rantau ini untuk menguji pasukan mereka.
Bagi Malaysia sendiri, ini adalah satu ujian yang amat baik untuk Harimau Malaya kerana bakal berdepan dua pasukan Timur Tengah iaitu Jordan dan Bahrain pada peringkat kumpulan Piala Asia 2023 nanti.
Dari segi ranking FIFA , Iraq berada di kedudukan yang lebih tinggi daripada Jordan dan Bahrain, jadi ia pastinya satu perlawanan yang baik untuk menguji kemampuan Harimau Malaya.
Iraq berada di ranking ke-67 manakala Jordan dan Bahrain masing-masing di ranking ke-84 dan 85.
Untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri, ia adalah peluang untuk mendapatkan lawan yang berkualiti yang dapat membantu persiapan Harimau Malaya.
Namun difahamkan Iraq mahu perlawanan persahabatan tersebut dianjurkan di ibu negaranya iaitu Baghdad.
Sekiranya benar, ia mungkin akan harus dipertimbangkan semula memandangkan keadaan di negara itu ketika ini tidak aman sepenuhnya akibat pergolakan politik yang berlaku di negara itu.
Tidak wajar untuk membahayakan nyawa pemain-pemain serta pegawa-pegawai pasukan hanya untuk satu perlawanan persahabatan.
Mungkin apa yang boleh dilakukan adalah untuk mengadakan perlawanan tersebut di gelanggang berkecuali, contohnya di negara tuan rumah Piala Asia 2023 itu sendiri iaitu Qatar.
FAM baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dengan tujuan untuk mempertingkat kerjasama bola sepak termasuk mengeratkan hubungan antara dua negara.
Terdahulu, skuad B-17 negara kendalian Osmera Omaro telah pun menjalani kem latihan di Akademi Aspire Qatar.
Jadi mungkin kerjasama yang dilakukan itu boleh memberi peluang buat FAM untuk ‘meminjam’ salah satu stadium di Doha untuk menganjurkan perlawanan persahabatan dengan Iraq.
Ini juga baik untuk pasukan Malaysia dan Iraq menyesuaikan diri dengan keadaan di Qatar sebelum mengharungi Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.