Bakal tinggalkan Nuneaton Borough, peluang buat pasukan Liga Super sambar Kobe Jae Chong
Pemain warisan Malaysia, Kobe Jae Chong bakal menjadi ‘free agent’ apabila kontraknya dengan Nuneaton Borough tidak akan bersambung pada hujung bulan Jun ini.
Beliau memberitahu tentang keputusannya itu di laman twitter rasminya pada baru-baru ini, pemain berumur 21 tahun itu telah melakukan sebanyak 14 penampilan dengan kelab dari divisyen tujuh Inggeris itu.
Beliau bagaimanapun masih belum memberi kata putus mengenai masa depannya selepas itu, dan ini dilihat sebagai peluang yang baik buat kelab Malaysia cuba menyambar khidmat pemain itu.
Pemain tengah berbakat ini pastinya akan menjadi sasaran kepada kelab-kelab besar Liga Super seperti Terengganu, Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman yang melihat untuk memperkuatkan pasukan mereka.
Selain itu, Selangor dan Sri Pahang juga dilihat sebagai antara kelab yang yang sesuai untuk pemain kacukan Malaysia-Jamaica ini.
Dengan reputasi yang dimilikinya, pemain tengah itu pasti menarik minat kelab-kelab tempatan untuk cuba mendapatkannya.
Mana-mana pasukan yang berjaya mendapatkannya boleh dianggap sebagai beruntung kerana beliau merupakan seorang pemain berbakat yang boleh menyumbang dengan segera bersama pasukan.
Sejak Jun 2022 lagi, beliau kerap dikaitkan dengan kelab-kelab besar tempatan namun ia hanyalah sekadar khabar angin sahaja.
Mungkin tahun ini akan menjadi musim di mana beliau akhirnya akan beraksi di tanah air serta menunjukkan kualiti beliau, dan mungkin boleh dipanggil ke skuad Harimau Malaya atau Harimau Muda pada masa akan datang.
Sama ada beliau akhirnya akan mewarnai saingan Liga Super pada separuh kedua saingan liga nanti, sama-sama kita nantikan.