Teknik ‘spin serve’ dilarang, jika BWF terus haramkan teknik tertentu sukan badminton sukar maju
Kali terakhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung teknik servis badminton adalah pada tahun 1982, iaitu teknik servis yang dikenali sebagai ‘servis Sidek’ yang dipelopori oleh keluarga badminton terkenal negara, keluarga Sidek, lebih-lebih lagi Misbun Sidek.
Servis ini pernah menjadi servis yang paling berbisa dan boleh dikatakan satu mata sudah berada dalam tangan apabila menggunakan teknik teknik tersebut.
Servis Sidek juga telah menyumbang banyak kemenangan untuk negara Malaysia pada tahun 80-an seperti All England, Kejohanan Dunia BWF dan banyak lagi.
Kerana betapa efektifnya servis tersebut, banyak pihak lawan yang sukar untuk membalasnya dengan sempurna dan disebabkan itu, negara seperti England dan Denmark meminta servis ini digantung.
Akhirnya pada 1 Julai 1982, servis Sidek akhirnya digantung oleh BWF.
Baru-baru ini, terdapat servis baharu yang dimasukkan dalam senarai teknik servis yang digantung oleh BWF iaitu ‘spin serve’.
Servis ini diperkenalkan oleh pemain beregu Denmark, Marcus Rindshoj, semasa perlawanan kedua Terbuka Poland pada bulan Mac lalu.
Penggantungan teknik servis ini adalah satu tindakan yang boleh menjejaskan kerancakan sukan badminton, kerana ia menghadkan kreativiti seorang pemain badminton dan servis ini mungkin boleh menjadi satu revolusi kepada sukan tersebut.
Oleh kerana kesukaran untuk membalas servis itu, mungkin pemain-pemain badminton yang berdepan dengan servis ‘spin serve’ perlu melakuakn persiapan yang lebih mendalam dan mencari jalan untuk membalas servis begitu.
Dengan ini, ia akan membuatkan pemain lebih kreatif dalam membalas gerakan lawan dan meningkatkan tahap pemain itu sendiri, serta sukan badminton secara keseluruhan.
Ia lebih baik daripada terus-menerus menerima ‘bantuan’ dari BWF untuk mengharamkan terus teknik servis berkenaan.
Jika BWF asyik mengharamkan teknik tertentu daripada digunakan, sukan badminton tidak akan mengalami revolusi dan terus berada di takuk yang lama.
Perubahan boleh menjadi perkara yang bagus untuk meningkatkan kualiti sesebuah sukan, contohnya, sukan bola sepak sudah memberi variasi baru untuk sepakan gol, di mana rakan sepasukan dibenarkan untuk masuk ke kotak penalti ketika sepakan gol.
Dengan perubahan seperti itu, tahap kualiti permainan bola sepak menjadi lebih menarik dan membuat orang lebih tertarik dengan corak permainan pendek yang baru.
BWF sebagai satu badan organisasi yang besar dalam sukan badminton dan bertanggungjawab dalam meningkatkan kualiti sukan ini, mereka perlu mempertimbangkan semula tindakan penggantungan ‘spin serve’ yang mungkin boleh menjadi pencetus revolusi untuk sukan badminton.