Memang banyak tawaran dari luar negara, tapi kenapa saya nak naikkan nama negara orang – CikuGais

447

Atlet e-sukan negara dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Danial Fuad menolak untuk berhijrah ke luar negara walaupun menerima banyak tawaran.

Baginya, beliau lebih berminat untuk menaikkan tahap e-sukan itu di negara ini berbanding menyumbang kepada negara luar.


“Sebenarnya saya memang dah banyak tawaran dari luar negara tetapi saya tolak.

Saya fikir kenapa saya nak naikkan nama negara orang, baik saya naikkan nama negara sendiri,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di KLIA 2 sempena sambutan pulang atlet MLBB lelaki negara yang berjaya meraih pingat perak pada Sukan SEA 2023.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai CikuGais bersyukur dengan pencapaian Malaysia pada temasya itu selepas berjaya ke perlawanan akhir buat kali pertama.

“Untuk Sukan SEA pertama agak sedih kerana saya, Momo dan Hisham tak dapat ke final, dan kali kedua ini bersyukur dapat menang pingat perak.

Dari segi latihan dan persefahaman memang kurang kerana selepas habis MPL saya ada kerja sikit, dan kami hanya sempat berlatih kira-kira tujuh hari, jadi ini semua rezeki kami.”

Beliau berkata bahawa pengalaman di Sukan SEA 2023 memberinya banyak pengajaran untuk persediaan ke kejohanan MSC bulan depan.

Katanya, beliau akan mengambil apa yang dipelajari daripada Sukan SEA 2023 bagi membantu pasukannya, Todak ketika di MSC nanti.