Pertemuan Misbun Sidek dan Lee Chong Wei mungkin ‘hint’ satu kolabrasi dalam masa terdekat?

836

Baru-baru ini dua nama besar badminton negara, Datuk Misbun Sidek dan Datuk Wira Lee Chong Wei menjadi perbualan peminat badminton negara apabila gambar kedua-dua figura itu bertemu dan berbincang tular di media sosial.

Pertemuan itu mendapat perhatian kerana ia seperti memberi bayangan awal terhadap kemungkinan kedua-dua mereka mungkin akan menjalin kerjasama di Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


Spekulasi ini menjadi perbualan berikutan peletakkan jawatan Michelle Chai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Dr. Tom Jones dilepaskan dari tugas selepas kekalahan pasukan badminton wanita negara kepada Filipina pada suku akhir Sukan SEA 2023 Kemboja.

Dengan kekosongan jawatan penting dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM), mungkin Chong Wei boleh menjadi calon terbaik untuk menggalas tanggungjawab itu.

Umum mengetahui hubungan kedua-dua figura itu seperti ayah dan anak yang mana Misbun berjaya melatih Chong Wei untuk menjadi pemain badminton nombor satu dunia.

Malah pada satu masa ketika Misbun sudah melepaskan jawatanya sebagai jurulatih, pemain itu bergelut untuk kembali pada prestasi sebenar sehingga membuatkan beliau memujuk semula ‘bapa’-nya itu untuk kembali melatihnya dan hasilnya beliau kembali pada prestasi terbaik.

Chong Wei kini sudah bersara namun jiwa dan raganya masih lagi berada dalam dunia badminton, manakala Misbun pula terus melatih pemain-pemain muda di Akademi Nusa Mahsuri dan ABM.

Jika Chong Wei menyertai BAM, ia akan memberi petanda bahawa BAM sememangnya mahukan perubahan dalam badminton negara, terutamanya dalam acara perseorangan yang mana ketika ini prestasi pemain-pemain negara sangat mengecewakan.

Dengan reputasi besar kedua-dua figura ini dalam sukan badminton di dunia, tidak mustahil untuk mereka membawa perubahan dan impak besar dalam sukan badminton negara.

Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria juga terbuka dan mengalu-alukan kedua-dua lagenda itu untuk terlibat dalam skuad negara bagi membantu pemain badminton negara.

Kombinasi jurulatih terbaik di negara dan dunia dan bekas pemain nombor satu dunia, ia adalah satu situasi yang cukup menarik untuk dilihat oleh peminat badminton yang sudah lama dahagakan kejayaan dalam sukan itu.

Mungkin dengan kehadiran kedua-dua lagenda ini akan melahirkan lebih ramai pemain berkelas dunia yang mana ketika ini Malaysia masih gagal melahirkan pengganti baru selepas Chong Wei bersara.

Biarpun tiada sebarang pengesahan buat masa ini, peminat pastinya akan teruja sekiranya Chong Wei benar-benar akan menyertai BAM.