Skrip sama tetapi penilaian berbeza buat skuad bola sepak lelaki dan wanita, kejayaan Indonesia dan Vietnam jadi inspirasi

397

Skuad bola sepak lelaki dan wanita Malaysia hanya boleh melihat kejayaan yang dicapai oleh Indonesia dan Vietnam memenangi emas pada Sukan SEA 2023, yang boleh dianggap sebagai ‘ibu segala pingat emas’.

Indonesia menamatkan penantian selama 32 tahun untuk mendapatkan pingat emas dalam acara bola sepak lelaki, dan boleh mendabik dada dengan kekuatan ‘ubi-ubi’ muda yang dimiliki mereka.


Ini membuktikan kerja keras mereka dalam membina semula struktur pasukan kebangsaan sejak dari peringkat akar umbi telah membuahkan hasil dan akhirnya mereka mendapat pingat emas yang diburu sejak sekian lama.

Pencapaian itu harus dilihat oleh skuad kebangsaan dengan lebih mendalam dan meneliti apa yang perlu dilakukan supaya pembangunan akar umbi negara kita tidak ketinggalan dan berada pada tahap yang sama dengan mereka.

Mungkin bukan sahaja dari segi kemahiran dan taktikal, tetapi terdapat kekurangan dari segi pembangunan akar umbi itu sendiri.

Persatuan Bola Sepak malaysia perlu melakukan ‘post-mortem’ mengenai langkah seterusnya, supaya kita dapat bersaing dengan negara-negara besar Asia Tenggara lain dalam Sukan SEA 2025 di Thailand dan juga pertandingan lain seperti Kejohanan AFF B-23.

Mungkin dengan menghantar pemain muda ke kelab luar negara untuk mendapatkan pendedahan yang lebih berkualiti boleh menjadi satu cara untuk meningkatkan lagi pembangunan bola sepak negara.

Kali terakhir Malaysia menang dalam Sukan SEA adalah 12 tahun yang lalu, sejak itu, hanya sekali sahaja Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir iaitu ketika menjadi tuan rumah pada 2017.

Harus diakui, jika dibandingkan dengan negara besar Asia Tenggara lain iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia, pembangunan akar umbi bola sepak negara agak ketinggalan.

Kita memerlukan struktur pembangunan yang lebih jelas dan menunjukkan peningkatan yang lebih baik menjelang Sukan SEA 2025.

Pasukan wanita Vietnam pula telah memenangi pingat emas untuk kali keempat berturut-turut, yang merupakan satu pencapaian unggul untuk bola sepak wanita Vietnam secara umum, mereka telah meletakkan diri sebagai pasukan kebangsaan wanita terkuat di rantau ini.

Pencapaian Vietnam harus menjadi penanda aras skuad wanita Malaysia dan bercita-cita untuk menjadi antara pasukan terkuat di ASEAN pada masa akan datang, skuad kini mempunyai beberapa pemain yang baik tetapi masih memerlukan bimbingan dan ruang untuk berkembang.

Walaubagaimanapun, kempen kali ini menunjukkan sesuatu yang amat positif buat skuad wanita negara yang baru dibentuk dan hanya mempunyai masa yang singkat untuk berlatih.

Skuad Malayan Tigress bimbingan Soleen Al-Zou’bi memberi harapan buat peminat bola sepak Malaysia bahawa mereka mampu mencapai sesuatu sekiranya diberikan masa.

Dengan lebih banyak masa dan ruang, percayalah bahawa pasukan wanita Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi pasukan yang sangat baik di rantau ASEAN, dan tidak mustahil Asia, pada masa akan datang.

Malaysia perlu mencari struktur yang lebih jelas dan kukuh supaya pembangunan bola sepak kita tidak ketinggalan oleh negara Asia Tenggara lain yang sudah menunjukkan hasil dalam projek pembangunan bola sepak mereka.