Kempen Sukan SEA terburuk dalam sejarah, pihak terlibat wajib belajar dan bangkit dari kegagalan ini

381

Sukan SEA 2023 akhirnya melabuhkan tirainya selepas kira-kira dua minggu berlangsung di bumi Kemboja melibatkan 580 acara daripada 36 jenis sukan.

Malaysia yang menghantar seramai 676 atlet ke Kemboja menamatkan edisi kali ini di tangga ketujuh keseluruhan, mengumpul 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa.


Ia tersasar daripada sasaran yang diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) pada awalnya iaitu sebanyak 40 emas.

Ini juga merupakan rekod terburuk yang dicatatkan Malaysia dalam sejarah Sukan SEA, dan lebih teruk daripada pencapaian pada edisi lalu di Hanoi, dengan kutipan sebanyak 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Hanya empat negara yang berada di bawah Malaysia dalam kutipan keseluruhan pingat iaitu Myanmar, Laos, Brunei dan Timor Leste.

Ini jelas satu perkara yang mengecewakan buat arena sukan negara, dan menunjukkan Malaysia semakin merudum sejak beberapa tahun ini.

Ini juga harus diberi perhatian khusus oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN, serta persatuan-persatuan sukan yang terlibat, lebih-lebih lagi terdapat kejohanan lebih besar yang akan ditempuhi iaitu Sukan Asia September ini dan Sukan Olimpik tahun depan.

Antara sukan yang jelas menampilkan prestasi di bawah jangkaan adalah acara hoki dalam dewan di mana Malaysia yang dianggap sebagai kuasa terbesar dalam sukan hoki di negara ini gagal mendapatkan pingat emas dalam kedua-dua acara lelaki dan wanita.

Selain itu, kegagalan skuad badminton negara untuk mendapatkan walau satu emas dalam edisi kali ini juga harus diberi perhatian kerana seolah-olah menunjukkan bahawa Malaysia tidak mempunyai pelapis yang boleh diharapkan.

Acara bola sepak lelaki juga pada edisi kali ini begitu mengecewakan apabila negara gagal melangkah ke perlawanan sepatuh akhir, walaupun dibarisi dengan skuad yang boleh dikatakan agak kuat.

Sukan yang sering kali dipandang sepi seperti tarian, yang berjaya menyumbang satu pingat emas, dalam acara breakdance, pada Sukan SEA kali ini pula harus diberi perhatian, lebih-lebih lagi ia bakal dipertandingkan pada Sukan Olimpik buat kali pertama pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang akan berjumpa dengan Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali serta timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee Jumaat ini bagi membincangkan mengenai prestasi atlet pada temasya itu perlu mencari jawapan yang konkrit mengenai apa yang berlaku terhadap kontinjen negara pada edisi kali ini.

Beliau yang baru sahaja menjawat jawatan itu kira-kira enam bulan mungkin tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk terlibat dengan projek Sukan SEA dari awal, justeru apa yang boleh dilakukan adalah melakukan ‘post-mortem‘ menyeluruh dan mencari penyelesaian supaya perkara ini tidak berulang lagi.

Ini bukanlah masanya untuk mencari alasan, tetapi punca mengapa sebilangan atlet negara tidak beraksi dengan baik sehingga kontinjen negara gagal mencapai sasaran.

Sekiranya terdapat rombakan yang perlu dilakukan dalam persatuan sukan, MSN dan KBS sendiri, ia perlulah dilakukan segera supaya kekecewaan pada Sukan SEA kali ini tidak berterusan sehingga ke kejohanan akan datang.

Dari sekarang, ada lebih dua tahun lagi sebelum edisi seterusnya di Thailand akan membuka tirainya, jadi persiapan harus dilakukan dari sekarang jika tidak mahu prestasi sama diulangi pada 2025.

Ini merupakan kempen Sukan SEA yang terpahat dalam sejarah buruk arena sukan negara, tetapi semua pihak yang terlibat harus mengambil pengajaran dan bangkit daripada kegagalan dan kekecewaan ini.