K Yogendran hadapi tugas berat kembalikan ‘maruah’ badminton perseorangan wanita negara
Teka-teki mengenai jurulatih baharu perseorangan wanita negara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya terjawab selepas bekas pemain kebangsaan, K Yogendran dilaporkan akan mengambil alih jawatan itu.
Memetik laporan The Star, pengarah latihan perseorangan BAM, Wong Choong Hann berkata bahawa Yogendran akan menggantikan James Chua untuk jawatan itu.
Ini merupakan satu cabaran besar buat Yogendran dalam menaikkan kembali tahap perseorangan wanita negara yang sudah sekian lama merudum.
Ramai jurulatih yang dipertanggungjawabkan sebelum ini seperti Indra Wijaya, Loh Wei Sheng, Tey Seu Bock, Wong Tat Meng dan James Chua sendiri tidak berjaya menggalas bebanan yang besar itu.
Malah, sebelum ini terdapat pihak yang mempertikaikan keputusan melantik James Chua untuk jawatan itu kerana beranggapan hubungan baiknya dengan Choong Hann membuatkan dirinya dilantik.
Jadi, pelantikan baharu ini diharapkan benar-benar dapat membantu menaikkan kembali perseorangan wanita negara.
Sekiranya ia hanya untuk mengisi kekosongan yang ada, sampai bila-bila posisi berkenaan akan terus bertukar-tukar tangan.
Apa yang lebih teruk adalah, pemain-pemain perseorangan wanita negara akan terus menjadi mangsa daripada situasi seperti itu.
Ketika ini, perseorangan utama wanita negara juga bukanlah daripada BAM, iaitu Goh Jin Wei yang berada di tangga ke-30 dunia, jauh meninggalkan perseorangan wanita utama BAM, Wong Ling Ching di tangga ke-116.
Pemain perseorangan wanita negara juga sentiasa bertukar-tukar kerana ramai yang meninggalkan persatuan itu.
Tahun ini, Myisha Khairul and S Kisona telah meninggalkan BAM, menyertai senarai pemain yang telah keluar sebelum ini seperti Goh Jin Wei dan Soniia Cheah.
Banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Yogendran untuk memastikan kategori perseorangan wanita negara bangkit kembali daripada ‘fasa’ buruk ini.