JDT boleh jadi tempat mula yang sesuai untuk karier kejurulatihan Safee Sali
Bekas penyerang sensasi kebangsaan, Safee Sali tidak menunggu lama kembali ke kancah bola sepak tanah air walaupun baru sahaja mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional Februari lalu.
Safee kini dilaporkan sudah pun memperoleh lesen kejurulatihan AFC/FAM C dan pastinya beliau mahu mencurahkan ilmu dan pengalamannya lebih dua dekad kepada pemain baru.
Beliau mempunyai reputasi cukup gah beraksi dengan kelab gergasi seperti Selangor FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), KL City FC, Pelita Jaya (Indonesia) dan beberapa lagi, termasuk pernah merangkul pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan juga antarabangsa.
Tidak hanya mencipta kejayaan bersama kelab, Safee juga berjaya mencipta kejayaan bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya termasuk berjaya menjulang Piala AFF 2010.
Dengan ‘resume’ yang hebat, pastinya beliau sudah mempunyai gambaran untuknya memulakan kariernya sebagai jurulatih.
Antara tempat terbaik untuk beliau memulakan karier bola sepaknya adalah di JDT kerana beliau mempunyai hubungan yang cukup baik dengan pemilik kelab tersebut iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.
Ya, pastinya beliau tidak boleh terus menjadi jurulatih di skuad utama, namun dengan lesen AFC/FAM C beliau boleh memulakan kariernya di peringkat akar umbi.
Semua sedia maklum JDT mempunyai program pembangunan yang cukup hebat di Asia Tenggara menerusi Akademi JDT, oleh itu ia akan menjadi tempat yang cukup baik untuk beliau.
Dengan pengalaman sebagai penyerang prolifik negara, tidak mustahil lebih ramai penyerang berkualiti dapat dilahirkan hasil bimbingan beliau.
Sejak Safee, pasukan kebangsaan ketandusan penyerang berbisa dan kini tugas itu digalas oleh Darren Lok namun impaknya masih belum besar seperti Safee.
Ia bukan sesuatu yang janggal untuk melihat bekas pemain JDT kembali menabur bakti bersama kelab Harimau Selatan itu kerana Amirul Hadi Zainal juga kini sedang mencipta nama sebagai penolong jurulatih di JDT II.
Sekiranya beliau bersama JDT, Safee juga berpeluang untuk mengasah bakatnya sebagai jurulatih termasuk menaik taraf dirinya untuk memperoleh lesen B dan A.
Walaupun perjalanannya dalam dunia kejurulatihan masih lagi awal, namun peminat berharap Safee dapat berjaya dan mencipta nama sebagai seorang jurulatih tempatan berkualiti di mana ia secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada bola sepak tanah air.
Semoga berjaya Safee Sali!