Kita sudah bincang beberapa pilihan tapi kita tak mahu umum lagi – Hannah Yeoh

1,010

Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa beliau sudah pun mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung isu penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada bulan November ini.

Ia adalah susulan isu yang timbul apabila pasukan kebangsaan Harimau Malaya bakal turun beraksi untuk kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijangka akan berlangsung pada 16 dan 21 November.


Tarikh itu hampir dengan penganjuran konsert band terkenal, Coldplay yang dijadualkan akan berlangsung pada 22 November.

“Memang isu stadium kita akan seimbangkan di antara sukan dan konsert. Yang ini kita telah bincang beberapa pilihan tapi kita tak akan umumkan pilihan itu lagi.

Saya kena tunggu undian terlebih dahulu yang mana Hamidin akan maklumkan kepada saya pada bulan Julai nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Semalam Hamidin dalam satu kenyataan kepada media memberitahu bahawa insiden seperti ini tidak boleh berlaku lagi kerana FAM sudah pun membuat tempahan awal kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) terhadap tarikh-tarikh perlawanan skuad negara yang berada dalam kalendar FIFA.

Pada awal awal tahun lalu, peminat bola sepak tanah air berang apabila sebanyak 21,000 tempat duduk di SNBJ terpaksa dikosongkan pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF bagi memberi laluan kepada pembinaan pentas konsert penyanyi terkemuka dari Taiwan, Jay Chou.

Dalam pada itu, Hannah enggan mengulas lanjut mengenai pihak manakah yang bersalah dalam isu tersebut kerana masih terlalu awal.

“No komen. Masih pramatang untuk saya komen sekarang ini, jadi kita tunggu undian terlebih dahulu ya.”