Samseng bola sepak semakin mengganas! Adakah ia akan dibiar berleluasa atau tindakan lebih tegas akan diambil?

703

Disebalik kerancakan saingan Liga Super yang memasuki perlawanan ke-11, nampaknya ia sekali lagi dicemari dengan insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong iaitu penyokong Perak FC dan Selangor FC.

Insiden pergaduhan itu mula berlaku sebelum sepak mula berlangsung lagi apabila samseng bola sepak yang digelar kasual mula menyerang penyokong lawan yang hadir ke stadium yang mana kemudian ia merebak sehingga ke dalam stadium.


Ini bukan kali pertama insiden sama berlaku membabitkan kasual Perak kerana sebelum ini golongan samseng-samseng ini sudah banyak kali membuat onar, sekaligus telah menimbulkan kebimbangan ramai penyokong yang bimbang mahu ke stadium kerana takut menjadi mangsa keadaan.

Budaya samseng bola sepak ini nampaknya semakin mengganas dan insiden seperti ini dijangka akan terus berleluasa sekiranya satu tindakan drastik atau lebih tegas diambil terhadap golongan kasual ini.

Mereka hadir ke stadium bukannya mahu menyaksikan perlawanan bola sepak, sebaliknya mereka hadir dengan satu misi iaitu membuat kacau dan ia sesuatu yang buruk untuk imej bola sepak Malaysia.

Samseng bola sepak atau lebih dikenali sebagai hooliganism ini sudah lama berada dalam budaya bola sepak negara kerana negara pernah digemparkan dengan insiden rusuhan penyokong sebelum ini termasuk insiden bakar kenderaan polis dan juga bakar ambulans.

Biarpun insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini tidak seteruk seperti dahulu, namun perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh pihak pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malangnya beberapa insiden yang berlaku sebelum ini tidak mendapat perhatian langsung apabila tiada tindakan yang dikenakan telah menyebabkan golongan kasual ini semakin besar kepala dan berani untuk terus membuat rusuhan.

Mahu tunggu rusuhan besar berlaku sehingga ada nyawa melayang baru nak ambil tindakan?

MFL dan FAM perlu proaktif dan peka dengan isu ini kerana peminat bola sepak tanah air sudah mula kembali menyokong saingan liga tempatan dan pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan untuk terus menarik lebih ramai rakyat untuk menyokong saingan Liga Malaysia.

Oleh itu, pihak bertanggungjawab perlu memastikan keselataman penyokong terjamin kerana majoriti yang datang adalah dari golongan keluarga di mana mereka membawa isteri dan anak-anak dan mereka terdedah dengan bahaya sekiranya insiden tidak diingini Meletus.

Sudah tiba masanya pihak MFL dan FAM bertindak dengan lebih tegas lagi kerana tindakan denda tidak akan memberi kesan kepada penyokong kerana mereka tetap boleh masuk ke stadium kerana denda itu dibayar oleh kelab mereka.

Tindakan tegas seperti hukuman tidak membenarkan penyokong hadir ke stadium untuk beberapa perlawanan akan memberi impak lebih besar.

Sekiranya hukuman itu dikenakan, pasukan terlibat terpaksa bermain di stadium kosong dan ini bermakna mereka akan mengalami kerugian kerana tidak dapat menjana pendapatan dek penyokong tidak dibenarkan masuk ke stadium.

Pihak kelab-kelab juga perlu memainkan peranan penting termasuk sentiasa mendidik penyokong supaya bersikap profesional supaya budaya samseng bola sepak ini dapat dihapuskan terus.

Malah kelab juga perlu mengingatkan penyokong bahawa kelakuan samseng itu hanya akan merugikan diri mereka sendiri dan kelab akan turut sama terkena tempiasnya.

Penyokong juga perlu menjadikan insiden-insiden yang berlaku di negara jiran Indonesia sebagai pengajaran kerana tiada guna sekiranya penyokong saling cuba berbunuhan antara satu sama lain hanya kerana bola sepak.

Bola sepak adalah sukan untuk menyatukan orang ramai, bukannya untuk memecah belahkan.

Oleh itu, diharap satu kempen banteras atau ‘say no to hooligans’ dapat diperkenalkan untuk memupuk sikap kesukanan yang tinggi kepada penyokong.

Kelab bola sepak sudah profesional, maka penyokong juga perlu menjadi lebih profesional.