Haramkan penyokong kasual masuk stadium satu inisiatif cukup baik oleh Perak FC, tapi mekanisme apa akan digunakan?

403

Baru-baru ini dunia bola sepak tanah air kecoh apabila berlaku insiden keganasan membabitkan segelintir penyokong fanatik atau lebih dikenali sebagai kasual yang membuat kecoh pada aksi Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Ipoh, Perak.

Tular beberapa video yang memperlihatkan aksi pergaduhan antara kedua-dua penyokong yang berlaku bukan sahaja di luar stadium tetapi juga di dalam stadium sekaligus mecetuskan kebimbangan ramai pihak penyokong yang hadir ke stadium.


Insiden itu mendapat liputan meluas yang mengecam tindakan kasual Perak itu yang didakwa sering mencetuskan kekecohan terutamanya apabila membabitkan pasukan besar atau musuh tradisi seperti Selangor.

Pihak pengurusan Perak turut tampil mengecam tindakan penyokong kasual ini yang telah menjejaskan imej dan reputasi kelab itu.

Susulan itu, The Bos Guarus menerusi satu kenyataan rasmi telah memberitahu bahawa pihak mereka akan mengambil tindakan untuk membendung keganasan dari berlaku termasuk melaksanakan tindakan mengharamkan kemasukan penyokong kasual ke stadium pada hari perlawanan.

Ia adalah satu inisiatif yang cukup baik dan harus dipuji kerana mereka serius dalam menangani masalah samseng bola sepak yang dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Namun persoalan yang timbul ketika ini adalah apakah mekanisme yang akan digunakan oleh pengurusan kelab untuk mengharamkan penyokong kasual ini masuk ke stadium? Ini kerana sukar untuk mereka mengenal pasti kumpulan ini.

Apa yang akan membuatkan usaha ini tampak mustahil untuk dilaksanakan kerana golongan ini bebas untuk membeli tiket yang mana mereka boleh wakilkan pihak lain untuk beli tiket bagi pihak mereka.

Tidak dapat dinafikan usaha ini boleh dilakukan tetapi peratusan untuk berjaya itu tidak banyak kerana mungkin hanya segelintir sahaja yang akan dikenakan tindakan, itu pun jika pihak polis atau keselamatan di stadium mampu mengecam.

Memang sukar dan agak mustahil, tetapi pihak pengurusan bertekad untuk berusaha bagi memastikan mereka dapat banteras penyokong kasual ini dan jika mereka berjaya, pastinya Perak akan menjadi contoh dan rujukan untuk kelab lain bagi membendung gejala kasual.

Apa pun kita harapkan penyokong-penyokong lain tidak terjebak dengan budaya hooligan ini kerana ia bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi juga akan menyebabkan kelab kesayangan sendiri yang rugi sekiranya dikenakan denda atau lebih parah lagi tidak dibenarkan bermain dengan kehadiran penyokong.

Penyokong perlu jadikan insiden yang berlaku di El Salvador semalam yang mengorbankan 12 nyawa dan tragedi rusuhan Kanjuruhan di Indonesia yang meragut ratusan nyawa sebagai pengajaran supaya insiden sama tidak berlaku di negara.