Manjung City FC akan hantar laporan dan surat mengenai mutu pengadilan pada AFL – Rafae Isa

187

Ketua jurulatih Manjung City FC, Rafae Isa memberitahu bahawa beliau dan barisan tertinggi pengurusan kelab sudah berbincang dan telah memutuskan akan menghantar surat laporan dan bantahan kepada Amateur Football League (AFL) mengenai mutu pengadilan.

Rafae berkata demikian bagi mengulas mengenai perlawanan Liga M3 di antara pasukannya menentang Imigresen FC yang menyaksikan mereka tewas 2-1 dalam perlawanan yang cukup kontroversi.


“Ya sudah semestinya kerana semalam kita sudah berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi, penasihat dan setiausaha agung kelab bersepakat untuk membuat laporan dan kita akan hantar kepada AFL.

Perkara ini tidak berlaku lagi kepada pasukan-pasukan lain. Kita mahu Liga M3 berada di landasan yang betul kerana kita sudah melabur dalam jumlah yang besar untuk bersaing.

Kita pernah kalah beberapa kali sebelum ini tapi kekalahan yang macam mana yang sepatutnya kita kalah. Itu yang menjadi persoalan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Semalam, Manjung City menerusi laman sosial Facebook rasmi mereka telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengkritik mutu pengadilan dan berkata mereka ‘dirompak di depan penonton’.

Lebih menarik lagi apabila mereka berkata; ‘Terima kasih kepada pengadil perlawanan yang begitu jelas menjadi pemain ke 12…13..14 buat Imigresen FC’.

Beliau turut mempertahankan kenyataan tersebut kerana berkata bukan pihak pasukan sahaja tidak berpuas hati, tetapi penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut termasuk pengulas turut mempersoal beberapa keputusan pengadil.

Dalam pada itu, Rafae turut mendedahkan beberapa pemainnya menangis selepas tamat perlawanan kerana terlalu kecewa dengan keputusan perlawanan itu kerana mereka sudah bermain mati-matian tetapi gara-gara mutu pengadilan yang teruk menjadi punca kekalahan mereka.

“Selepas tamat perlawanan saya bertemu dengan pemain yang mana ada beberapa pemain yang menangis kerana mereka bermain bermati-matian tapi dihukum dengan satu keputusan yang agak mengecewakan.

Saya berkata kepada pemain perkara seperti ini memang akan berlaku dalam bola dan saingan liga masih panjang dan perlu terus konsisten. Ambil apa yang jadi sebagai satu pengajaran.”

Beliau juga mahu pemain-pemainnya terus kekal bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk mengharungi baki saingan liga.

Manjung City kini berada pada kedudukan ke-10 Liga M3 setelah enam perlawanan selepas memperoleh satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

Sementara itu, Rafae kekal optimis dengan sasaran mereka untuk berada pada kedudukan Top 5 liga musim ini kerana perjalanan liga masih lagi panjang dan mereka mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki segala kelemahan.

“Sasaran itu realistik kerana kita mempunyai sekurang-kurangnya 20 perlawanan lagi dan jika kita menang dalam empat atau lima perlawanan seterusnya, kita mampu jadi pencabar pasukan teratas liga.”