Minit permainan, kelab berkualiti jadi keutamaan Safawi Rasid

Peluang Kelab pilih Safawi Rasid kembali ke Liga Malaysia

1,570

Setelah beraksi selama setengah musim di Thai League 1 bersama Ratchaburi FC, pemain sensasi kebangsaan Safawi Rasid kini sedang mencari kelab baru dan khabar angin mengatakan beliau bakal kembali ke saingan Liga Super.

Ketika ini beberapa kelab dikatakan akan menjadi destinasi barunya dan kelab dari Pantai Timur menjadi pilihan pemain berusia 26 tahun, dan bekas kelabnya iaitu Terengganu FC sudah pun menyatakan minat mereka untuk membawa Safawi pulang ke Kuala Terengganu.


Pastinya Safawi kini sedang membuat kira-kira kelab manakah yang banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum membuat keputusan.

Sejak beraksi di Ratchaburi, Safawi telah memperlihatkan prestasi yang cukup baik dan kembali kepada prestasi sebenarnya selepas mengharungi beberapa musim hambar bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Berdasarkan statistik yang dikongsi baru-baru ini memperlihatkan Safawi mempunyai peratusan gelecek yang berjaya dan sepakan sudut yang tepat menerusi kaki kirinya.

Sepanjang tempoh bersama kelab itu, beliau telah bermain selama 703 minit permainan.

Oleh itu, antara faktor utama yang akan dipertimbangkan oleh Safawi sekiranya beliau ingin kembali ke Malaysia pastinya sebuh kelab yang kukuh dan bebas dari sebarang masalah terutamanya isu tunggakan gaji pemain.

Selain itu, faktor seperti minit permainan dan kualiti permainan pasukan juga perlu diambil kira supaya sesuai dengan corak permainannya sekaligus dapat memberi impak.

Pada masa sama fasiliti yang bagus juga akan menjadi faktor penting dan berdasarkan kriteria tersebut terdapat beberapa kelab yang dilihat sesuai untuk Safawi iaitu kelab tersebut adalah Terengganu FC, Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC.

Ketiga-tiga kelab ini merupakan pasukan Top 5 Liga Super ketika ini yang mana kesemua mereka mempunyai fasiliti yang agak baik selain JDT, namun jika beliau memilih untuk berkelana di Pantai Timur pastinya Terengganu akan menjadi pilihan.

Ini kerana beliau merupakan pemain yang mula mencipta nama ketika bersama skuad Sang Penyu dan melihat kepada situasi semasa pasukan itu, kehadiran Safawi dilihat mampu memberi impak terutamanya di bahagian serangan.

Apa yang membuatkan Terengganu menjadi pilihan terbaik kerana pasukan itu akan beraksi di pentas Asia pada musim ini iaitu Piala AFC 2023 yang mana beliau mempunyai pengalaman cukup luas kerana pernah beraksi di tertinggi iaitu AFC Champions League (ACL).

Sabah juga boleh menjadi pilihan beliau kerana The Rhinos juga akan beraksi di Piala AFC, namun jika mengambil kira pelbagai faktor pastinya Terengganu mempunyai kelebihan.

Manakala untuk Kedah pula, antara faktor yang mungkin mampu menarik pemain itu ke Darul Aman adalah kerana pasukan itu kini dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain.

Tapi dengan Sang Kenari sedang dalam proses membina semula pasukan, termasuk tidak beraksi di pentas Asia, pasukan itu mungkin akan menjadi pilihan terakhir beliau.

Dengan pengalaman luas yang ada pada Safawi di peringkat tertinggi, beliau kini menjadi rebutan pasukan yang mahukan khidmatnya.

Kelab manakah yang akan jadi pilihan beliau? Sama-sama kita tunggu dan lihat.