Aqil Shamsul lawat rakan-rakan di Belcom FC sebelum sertai Akademi JDT
Baru-baru ini pemain bola sepak cilik dari Terengganu, Aqil Shamsul menjadi sebutan peminat bola sepak di Malaysia selepas satu video aksinya tular di media sosial.
Video tersebut memperlihatkan aksi hebat beliau di atas padang bermain bola sepak dengan pemain yang lebih berusia dan apa yang membuatkan ramai kagum apabila melihat aksi bersahajanya menggelecek.
Kehebatan pemain berasal dari Terengganu itu telah menarik minat kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tidak menunggu lama untuk menandatangani kontrak bersama pemain cilik itu yang akan diserap ke Akademi JDT.
Berita mengenai Aqil ke akademi Harimau Selatan itu mendapat liputan meluas media di seluruh negara yang mana rata-rata peminat melihat beliau mempunyai potensi untuk menjadi bintang bola sepak satu hari nanti atau pengganti Arif Aiman.
Aqil jumpa kawan-kawan dulu terutama geng2 Belcom FC (Beladau Kolam) sebelum berangkat ke Johor. #FootballTrg#BeyondBorders pic.twitter.com/1tTl6tB5Do
— Football Terengganu (@FootballTRG) May 21, 2023
Walaupun kini sah sebagai pemain di salah sebuah akademi bola sepak terbaik di Asia Tenggara, Aqil tidak pernah melupakan dari mana beliau datang apabila beliau telah berjumpa dengan rakan-rakan bola sepaknya Belcom FC untuk beramah mesra sebelum berangkat ke Johor.
Sikap rendah diri yang dipamerkan oleh Aqil mendapat pujian dan ramai yang mendoakan pemain itu akan bersinar apabila menyertai Akademi JDT sekaligus dapat menembusi skuad utama juara Liga Super sembilan kali berturut-turut dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Dalam pada itu, pemergian Aqil ke kelab Selatan adalah sesuatu yang merugikan buat bola sepak Terengganu kerana melepaskan pemain berpotensi besar ke kelab lain.
Aqil sepatutnya boleh diserap ke Terengganu FC yang merupakan kelab yang cukup terkenal dalam melahirkan ramai pemain-pemain muda berkualiti.
Kelab-kelab lain juga boleh mengikut jejak langkah seperti yang dilakukan oleh JDT iaitu mempunyai sebuah akademi yang berkualiti supaya dapat mengumpul bakat-bakat pemain berpotensi di negeri masing-masing yang mana ia bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kelab itu sendiri tetapi juga kepada negara.