Nasib Frank Bernhardt kini umpama ‘telur di hujung tanduk’! Pertemuan dengan PDRM FC jadi penentu
Nasib ketua jurulatih Kelantan FC, Frank Bernhardt kini umpama ‘telur di hujung tanduk’ apabila perlawanan Liga Super seterusnya menentang PDRM FC pada esok 23 Mei akan menjadi penentu nasib beliau.
Ini kerana sejak mengambil alih pasukan itu dari Choi Moon-sik, Bernhardt telah mengalami empat kekalahan berturut-turut dan berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan oleh pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman adalah ketua jurulatih akan dipecat jika tewas lima perlawanan.
Skuad The Red Warriors mungkin mempunyai untuk cuba memperoleh kemenangan atau sekurang-kurangnya mendapat keputusan seri berdasarkan prestasi PDRM yang tidak konsisten ketika ini.
Namun ramai yang menjangkakan Kelantan mungkin akan mengalami kekalahan kelima mereka ini dek permasalahan yang berlaku di kelab itu ketika ini.
Bermula dengan melepaskan pengendali dari Korea Selatan, satu demi satu masalah dalaman kelab dari Pantai Timur itu mula terdedah menyebabkan ramai peminat berang dan menuntut Norizam atau Zamsaham segera menyelesaikan isu kelab itu.
Jika mereka tewas esok, Bernhardt mungkin akan diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal, manakala Rezal Zambery akan menjadi pemangku jurulatih.
Selain jurulatih, ada pemain import Carli de Murga turut mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal kerana masalah yang berlaku.
Lebih parah lagi, Zamsaham sebelum ini dalam kenyataannya mengakui menahan gaji pemain 50% kerana tidak berjaya memenuhi KPI yang ditetapkan dan berkata pemain hanya akan mendapat gaji penuh sekiranya mereka berjaya menang dua perlawanan seterusnya.
Kenyataan itu mengundang kritikan ramai terhadap Zamsaham dan perkara ini secara tidak langsung menjejaskan motivasi pemain-pemain kerana mereka sudah bermain mati-matian tetapi tidak dapat gaji seperti yang dijanjikan.
Terikat dengan kontrak mungkin menjadi antara salah satu faktor mengapa tiada pemain yang tampil untuk mengesahkan perkara itu.
Apa yang membuatkan ramai yang sedar akan masalah besar yang dihadapi oleh pasukan itu apabila mereka menyiarkan iklan jawatan kosong yang memperlihatkan mereka seperti ‘menyalin’ seluruh pasukan di belakang tabir.
Situasi ini turut menyebabkan ada peminat kini memberi komen sinis termasuk meminta pengurusan kelab menawarkan harga tiket dengan potongan 50% dek prestasi hambar pasukan ketika ini.
Dalam pada itu, pihak pengurusan kelab juga baru-baru ini telah mengubah keputusan untuk membenarkan semula kain rentang atau tifo dibawa masuk ke stadium, tetapi bersyarat iaitu mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan terlebih dahulu.