Wan Kuzri di landasan tepat untuk sarung jersi Harimau Muda

572

Selepas si abang Wan Kuzain Wan Kamal menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air, kini adiknya Wan Kuzri pula menjadi perhatian ramai selepas beliau menandatangani kontrak bersama kelab St. Charles FC.

Kelab yang beraksi di USL League Two akan memperlihatkan Wan Kuzri akan membuat debutnya pada 31 Mei ini pada perlawanan menentang Chicago Dutch Lions.


Ini adalah peluang untuk beliau untuk mempamerkan aksinya yang mana ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan pastinya akan mengikuti rapat perkembangan pemain itu untuk diserap ke skuad Harimau Muda sekiranya cemerlang.

Jika sebelum ini Wan Kuzain tidak dapat beraksi bersama skuad muda negara kerana beberapa faktor, mungkin kehadiran Wan Kuzri akan memberi sinar baru kerana pemain itu baru berusia 20 tahun, manakala abangnya pula sudah berusia 24 tahun.

Beliau yang beraksi di posisi tengah bukan sahaja mempunyai kebolehan membuat hantaran tepat, tetapi beliau juga mampu menjaringkan gol.

Dengan pengalaman dan kualiti beraksi di liga luar negara, kehadiran Wan Kuzri dalam skuad negara pastinya akan memberi nilai tambah buat Elavarasan.

Skuad Harimau Muda bakal mengharungi kelayakan Sukan Olimpik tidak lama lagi dan dijangka Elavarasan akan memanggil beberapa pemain muda negara yang berpengkalan di luar negara termasuk Luqman Hakim dan Noaa Laine.

Terdahulu, skuad kendalian Elavarasan dikritik hebat oleh peminat bola sepak tanah air selepas mereka tersingkir awal di temasya Sukan SEA 2023 Kemboja apabila hanya sekadar menduduki tempat ketiga selepas dua kemenangan dan dua kekalahan.

Mungkin dengan kehadiran beberapa pemain yang beraksi di luar negara ini mampu memperkuatkan pasukan supaya misi untuk ke Olimpik tercapai setelah sekian lama gagal untuk layak.