Kerjasama dengan KFA boleh tingkatkan bola sepak wanita

250

Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) baru-baru ini telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangun dan meningkatkan kualiti bola sepak wanita Indonesia.

Ia adalah satu inisiatif yang cukup baik dilakukan oleh Presiden PSSI iaitu, Erick Thohir yang mana ia boleh dijadikan sebagai contoh buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk turut sama melakukan perkara sama bagi meningkatkan bola sepak wanita.


Jika Indonesia menjalin kerjasama dengan JFA, Malaysia pula mungkin boleh menjalin hubungan dengan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) kerana semua sedia maklum Korea Selatan mempunyai sebuah pasukan bola sepak wanita yang cukup hebat di dunia.

Berdasarkan FIFA ranking semasa, pasukan bola sepak wanita Korea Selatan kini berada di kedudukan ke-17 dunia selain merupakan pasukan Piala Dunia Wanita, sekaligus menjadi pilihan tepat untuk bangunkan bola sepak tanah air.

FAM juga kini sedang rancak mempertingkatkan bola sepak wanita apabila melantik jurulatih prolifik Soleen Al-Zoubi untuk mengendalikan skuad Malayan Tigress.

Soleen bukan sahaja mengendalikan skuad utama, beliau turut bertanggungjawab dalam program pembangunan akar umbi wanita.

Dalam pada itu, Malaysia juga sudah sinonim dengan corak permainan ala Korea Selatan kerana skuad bola sepak lelaki kini dikendalikan oleh Kim Pan-gon yang mana sejak beliau mengambil alih pasukan, Harimau Malaya telah memperlihatkan peningkatan prestasi yang cukup baik termasuk berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas lebih 40 tahun.

Bola sepak wanita negara kini tampak mula memperlihatkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini dan jika lebih banyak inisiatif dilakukan oleh FAM, pastinya satu hari nanti skuad wanita negara mampu menjadi pencabar di Asia Tenggara.

Ini kerana ketika ini pasukan negara jiran seperti Filipina, Vietnam dan Thailand merupakan pasukan gergasi di Asia Tenggara dan ketiga-tiga pasukan ini akan beraksi di Piala Dunia Wanita 2023.