Faisal Halim ke K1 League agak mustahil, hanya sekadar khabar angin

649

Perkabaran pemain Selangor FC, Faisal Halim ke K1 League kini sedang bertiup kencang apabila difahamkan dua buah kelab berminat untuk mendapatkan khidmat beliau iaitu Suwon Samsung FC dan Incheon United untuk memenuhi kuota pemain ASEAN.

Malah ada laporan yang berkata proses perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan, malah kelab Faisal juga dikatakan selepas melepaskan pemain itu mnerusi ‘mutual agrement’.


Disebalik keterujaan ramai, ejen kepada pemain kebangsaan itu iaitu Joe Berbatov telah tampil dengan kenyataan ‘show me the offer first’ umpama memberi bayangan khabar angin itu hanya sekadar khabar angin kosong.

Tidak dapat dinafikan ia adalah satu berita yang cukup baik apabila ada kelab dari liga terbaik Asia seperti K1 League menyatakan minat untuk dapatkan khidmat Faisal, namun berdasarkan beberapa faktor, agak mustahil untuk melihat pemain itu berhijrah ke Korea Selatan.

Faktor utama sudah semestinya soal gaji di mana ketika ini Faisal yang beraksi bersama skuad Gergasi Merah dikatakan menerima gaji yang lumayan sehingga RM80,000, namun tiada kesahihan mengenai perkara itu.

Jika pemain itu mahu berhijrah pastinya kelab yang berminat perlu tawarkan pakej gaji yang lebih menarik, tapi persoalannya adakah mereka sanggup melabur sekitar USD20,000 untuk pemain dari ASEAN?

Tambahan pula, pemain itu juga tidak mempunyai pengalaman beraksi di peringkat kelab Asia seperti di Piala AFC mahu pun AFC Champions League (ACL), jadi pastinya gaji yang akan ditawarkan akan lebih rendah dan ini pastinya akan membuatkan pemain itu tidak bersetuju.

Ejen beliau juga pastinya akan memainkan peranan penting kerana ‘gaji’ beliau adalah berdasarkan komisyen dari kontrak pemain itu, jadi jika nilai kontrak itu rendah maka komisyen yang akan diterima juga rendah.

Faisal pada masa sama juga perlu memikirkan soal minit permainan kerana sekarang ini sudah pun bulan Jun dan beliau hanya mempunyai tempoh kurang enam bulan untuk terus pamer aksi konsisten jika mahu terpilih ke Piala Asia 2023 pada awal Januari nanti.

Jika beliau berhijrah, pastinya ia akan memakan masa untuk menyesuaikan diri dan lebih teruk lagi Faisal tidak akan mendapat minit permainan yang cukup sekaligus akan menyebabkan prestasi beliau merosot.

Satu lagi perkara yang mungkin akan jadi penghalang yuran perpindahan yang tinggi.

Dengan kontrak yang lumayan di Selangor, adakah kelab yang berminat sanggup mengeluarkan kos besar terhadap pemain yang masih belum diketahui mampu adaptasi di K1 League.

Contoh terbaik adalah bekas pemain PJ City FC iaitu Kogileswaran Raj yang kurang mendapat minit permainan sejak berhijrah ke kelab Chungbuk Cheongju FC yang beraksi di K2 League.

Malah, pemain-pemain dari ASEAN lain juga turut sukar untuk menembusi kesebelasan utama kerana persaingan sengit di antara pemain, jadi tidak hairan apabila liga mereka diiktiraf sebagai salah sebuah liga terbaik di Asia kerana sangat kompetitif.

Benar atau tidak, sama-sama kita tunggu kenyataan daripada tuan empunya badan dalam masa terdekat ini.