Harap Sarawak United FC dapat selesaikan tunggakan gaji B. Sathianathan dengan segera

221

Nampaknya Sarawak United FC terus berdiam diri dan belum melangsaikan tunggakan gaji lima bulan bekas ketua jurulatih dan pengarah teknikal pasukan itu, B. Sathianathan menyebabkan jurulatih veteran itu kini mahu mengambil tindakan undang-undang.

Sathianathan yang juga merupakan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia berang apabila pemilik kelab Datuk Posa Majais belum lagi menunaikan janjinya walaupun sebelum ini pernah menghantar surat untuk memaklumkan kelab sedang menunggu peruntukan dana daripada kerjaan negeri.


Bukan sahaja pengendali, pemain-pemain kelab itu juga berdepan masalah sama apabila sehingga kini masih menunggu tunggakan gaji mereka.

Tidak mahu terus menunggu sesuatu yang tidak pasti, beliau mahu mengheret kelab dan Posa Majais ke mahkamah bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Itu adalah jalan terakhir untuk memastikan beliau dan bekas pemainnya mendapat keadilan selepas pengurusan kelab bersikap tidak bertanggungjawab.

Diharap pengurusan kelab dan Posa Majais dapat mengambil tindakan untuk bertemu dengan bekas jurulatih dan bekas pemain untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik.

Ini kerana sekiranya ia dibawa ke mahkamah, kes akan menjadi lebih besar dan pastinya akan turut melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Jika perkara itu berlaku ia secara tidak langsung akan membuatkan imej bola sepak Malaysia terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tercalar.

Lebih memalukan lagi apabila Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin juga merupakan salah seorang Ahli Majlis FIFA.

Peminat berharap bukan isu tunggakan gaji Sarawak United sahaja dapat diselesaikan, tetapi juga isu tunggakan gaji Melaka United FC turut akan diselesaikan kerana isu itu sudah lama berlaku tapi masih lagi belum selesai sehingga kini.