Frank Bernhardt catat lima kekalahan, Rezal Zambery ambil alih ‘post-match interview’, apa jadi dengan Kelantan?
Kelantan FC mencatat satu lagi kekalahan dalam saingan Liga Super semalam apabila tewas 4-1 di laman sendiri kepada pasukan PDRM FC.
Keputusan itu menyaksikan ketua jurulatih, Frank Bernhardt sudah mencapai jumlah lima kekalahan yang mungkin akan menyebabkan beliau disingkirkan daripada jawatan itu.
Ini kerana, pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham sebelum ini pernah memberitahu bahawa jurulatih dari Jerman itu akan direhatkan sekiranya mencatatkan lima kekalahan.
Perkara itu seakan-akan sudah menjadi kenyataan apabila selepas perlawanan, pembantunya, Rezal Zambery Yahya yang telah ditemu bual tentang perlawanan.
Namun, Zamsaham sehingga kini masih lagi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kedudukan Bernhardt sama ada beliau masih lagi memegang jawatan ketua jurulatih Kelantan atau tidak.
Kebiasaannya, beliau kerap kali akan memuatnaik hantaran mengenai pasukan Kelantan, terutama selepas satu-satu perlawanan.
Namun, sejak kebelakangan ini tiada apa-apa khabar mengenai pasukan Kelantan di laman Facebook peribadinya.
Ramai peminat bola sepak tempatan tertanya-tanya sama ada Bernhardt sudah direhatkan atau pun tidak, seperti apa yang diperkatakan oleh Zamsaham sebelum ini.
Penyokong bola sepak Kelantan bagaimanapun nampaknya ramai yang seakan-akan sudah ‘bosan’ dengan kekalahan demi kekalahan yang dicatatkan oleh pasukan.
Pada perlawanan menentang PDRM semalam, hanya 651 orang penyokong dilaporkan hadir di Stadium Sultan Muhammad IV, berbanding perlawanan lalu yang menyaksikan kira-kira 5,000 orang hadir.
Mereka mungkin bukan saja hampa dengan keputusan buruk yang dicatatkan pasukan tetapi dengan apa yang berlaku dalam kelab itu.
Semakin lama situasi ini berlanjutan, ia nampaknya akan memberi kesan yang buruk terhadap kelab, pemain dan juga penyokong.