AFL tidak akan ambil tindakan ke atas Sarawak United FC atas permasalahan yang berlaku ketika mereka di Liga Super – Yusoff Mahadi
Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menyedari mengenai isu tunggakan gaji yang berlaku pada pasukan Sarawak United FC, namun pihaknya tidak akan mengambil tindakan terhadap kelab itu.
Ini kerana menurut Yusoff Mahadi, ketika ini Sarawak United yang beraksi di saingan Liga M3 bebas dari sebarang masalah.
“Soal gaji atau kepincangan yang berlaku di Sarawak United membabitkan tunggakan gaji pemain dan bekas ketua jurulatih B. Sathianathan mereka boleh membuat laporan mengenai perkara itu dan tindakan akan dikenakan oleh Jawatankuasa Status FAM.
Tetapi di peringkal AFL, pasukan itu masih lagi dapat melunaskan tanggungjawab seperti mereka dan setakat ini tiada sebarang masalah termasuk ada pemain yang keluar.
Jadi dari segi AFL, kita tidak akan ambil tindakan atas permasalahan yang berlaku ketika mereka bermain di Liga Super. Tindakan itu akan diambil oleh Jawatankuasa Status,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Yusoff Mahadi pada masa sama turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengenakan sebarang tindakan selagi Sarawak United tidak melanggar peraturan AFL.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan B. Sathianathan yang mahu mengheret kelab it uke mahkamah selepas sehingga kini masih gagal melunaskan tunggakan gajinya lima bulan.
Dalam pada itu, Sarawak United yang kini beraksi di Liga M3 berada di kedudukan kedua tercorot selepas lima perlawanan apabila hanya berjaya mencatat satu kemenangan dan empat kekalahan.