Buriram United tambah denda yang FAT berikan kepada pemain yang bergaduh ketika menentang Indonesia

560

Insiden pergaduhan yang mencemari perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kemboja antara pemain Thailand dan Indonesia baru-baru ini memaksa pengadil mengeluarkan lima kad merah kepada pemain dan pegawai pasukan.

Sehubungan itu, tindakan tegas Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah menghukum dua orang pemain iaitu Soponwit Rakyart and Thirapak Prueangna yang digantung selama enam bulan daripada bermain untuk skuad kebangsaan.


Tindakan pantas badan induk itu yang berani menghukum pemainnya mendapat pujian kerana ia dilihat sebagai satu keputusan yang adil.

Sejurus selepas mendapat hukuman dari Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Kelab Burriram United turut mengambil langkah yang sama mengenakan denda terhadap pemain kelab itu, Thirapak Prueangna dengan menggantungnya selama enam bulan, manakala gajinya pula akan ditolak sebanyak 25 peratus selama tempoh tersebut.

Ini adalah satu tindakan yang amat wajar, yang jarang dilakukan oleh kelab lain, kerana kebiasaannya, kelab akan mempertahankan pemainya.

Bagi Burriram United walaupun pemainya sendiri terlibat, tidak ada sikap pilih kasih terutamanya kepada pemain muda.

Ia dilihat sebagai satu pengajaran yang berguna kepada Thirapak Prueangna supaya tidak mengulangi tindakannya itu yang tidak mempamerkan semangat kesukanan.

Ini adalah proses pembelajaran yang berguna dan mematangkan dari sudut disiplin menjaga mental.

Yang salah haruslah dihukum, meskipun bermain untuk kelab mahupun negara, dan pergaduhan serta keganasan dalam bola sepak tidak seharusnya berlaku.

Thirapak Prueangna kini masih dalam tempoh pinjaman bersama kelab Ayutthaya United di mana akan berakhir pada 31 Mei ini, dan tempoh enam bulan selepas ini pasti akan menjadi satu pengajaran yang akan mematangkan dirinya.

Beliau telah melakukan 14 penampilan bersama Ayutthaya United musim ini dalam Thai League 2, dilihat sebagai satu prospek yang berharga untuk masa depan.

Semoga insiden pergaduhan yang terjadi dapat menjadi teladan buat dirinya kerana jika tidak, sikap seperti itu mampu membunuh kariernya sendiri.