Ada yang cakap saya ‘noob’, tetapi lebih ramai yang beri sokongan – Aria
Atlet e-sukan yang mewakili negara ke Sukan SEA dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Aria mengakui beliau sudah lali dengan kecaman yang diterima daripada netizen di media sosial.
Beliau berkata bahawa perkara itu adalah normal dan beliau sudah tidak ambil kisah kerana lebih ramai yang memberikan sokongan berbanding yang mengecam.
“Walaupun ada yang mengecam tetapi lebih ramai yang beri sokongan kepada saya, jadi saya tidak terkesan pun dengan mereka yang mengecam.
Ada yang cakap saya noob, tak layak main sebagainya… Tetapi bagi saya apa bila kita semakin berjaya, semakin ramai yang mahu jatuhkan kita, benda itu normal jadi saya tak layan saja,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Aria berkata, beliau berasa sangat gembira dapat menyumbang pingat gangsa untuk negara pada Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun terkilan tidak dapat membawa pulang emas daripada kejohanan itu yang menjadi impiannya.
Dalam pada itu, beliau berharap supaya MLBB di negara ini semakin berkembang dalam kalangan wanita untuk mewujudkan lebih ramai pilihan pemain.
“Bukan sahaja dari arena porfesional tetapi juga semi-pro kerana kita mahu lebih ramai muka baharu yang muncul.
Kalau ada arena semi-pro mungkin lebih ramai lagi perempuan yang berminat untuk bermain MLBB.”