Ini adalah permainan terbaik Selangor FC kerana bukan mudah nak menang dengan Kedah Darul Aman FC – Tan Cheng Hoe
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan pada malam tadi menentang Kedah Darul Aman FC adalah yang terbaik apabila mereka berjaya menang 3-2 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Ini adalah antara perlawanan terbaik kita kerana bukan mudah untuk menang pada perlawanan malam tadi berikutan Kedah juga bermain dengan begitu baik.
Kalau kita lihat mereka mempunyai barisan serangan yang baik dengan kombinasi yang cukup berbahaya dan hampir menyamakan kedudukan di saat-saat akhir yang mana kita hampir kehilangan dua mata yang cukup bermakna,”
katanya.
Cheng Hoe juga berkata perlawanan sukar menentang KDA sangat baik untuk pemain-pemain mudanya kerana ia dapat memberi lebih keyakinan kepada mereka.
Dalam pada itu, beliau juga tidak melihat ketiadaan dua tonggak utama iaitu Brendan Gan dan Noor Al-Rawabdeh merencatkan corak permainan mereka, sebaliknya beliau mahu memberi ruang dan peluang kepada pemain muda untuk beraksi dalam perlawanan besar seperti ini.
“Memang mereka merupakan tonggak pasukan, tapi kita juga perlu beri peluang kepada pemain muda untuk beraksi dalam perlawanan besar seperti malam ini dan mereka nyata tidak mengecewakan. Contohnya Aliff Haiqal yang bermain dengan cukup baik sekali.”
Tambahnya lagi, walaupun pemain-pemain muda ini bermain dengan baik, namun mereka tetap juga perlu belajar dari semasa ke semasa untuk terus memperbaki segala kelemahan yang ada.
Sementara itu, kemenangan pada malam tadi menyaksikan skuad Gergasi Merah terus kekal di kedudukan Liga Super dengan mengutip 28 mata, lapan mata di belakang pendahulu liga iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau nyata berpuas hati dengan kedudukan semasa pasukannya itu, namun beliau menegaskan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Ya berpuas hati, tapi banyak lagi kita boleh improve dari segi individu kerana setiap pemain perlu menyerap tekanan dengan lebih baik apabila menentang pasukan besar.
Kami di barisan kejurulatihan mahu melihat pemain-pemain akan tenang apabila ditekan oleh pasukan lawan dan cuba menguasai perlawanan tersebut. Saya rasa banyak lagi perkara yang perlu dipertingkatkan. Kita tidak boleh berhenti di sini, sebaliknya perlu terus berkembang.”