Saya dapat rasakan Jordan dan Malaysia sekumpulan, harap kedua-dua pasukan layak ke pusingan kalah mati – Yazan Al-Arab

625

Pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab berharap Jordan dan Malaysia yang diletakkan dalam kumpulan yang sama di Piala Asia 2023 mampu melayakkan diri bersama-sama ke pusingan kalah mati.

Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Jordan, Korea Selatan serta Bahrain pada kejohanan Piala Asia 2023 Januari tahun depan.


Beliau berkata, diundi bersama Malaysia memberi motivasi buat dirinya kerana bakal berdepan dengan beberapa orang rakan sepasukannya di Selangor seperti Brendan Gan, Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal.

“Saya memang dapat rasakan bahawa kita (Jordan dan Malaysia) akan berada dalam kumpulan yang sama, ini adalah satu motivasi buat diri saya, saya kenal pemain-pemain Malaysia.

Sudah tentu saya tahu gaya permainan mereka, ramai pemain yang bagus dan saya hormati mereka, saya harap kedua-dua negara dapat pergi ke pusingan seterusnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman yang menyaksikan pasukannya menang 3-2.

Sementara itu, mengenai pasangannya di bahagian pertahanan, Yazan berkata bahawa setiap pemain mempunyai kelebihan masing-masing dan harus bersedia untuk memberikan sepenuhnya apabila diturunkan.

“Ia terpulang kepada jurulatih bergantung kepada perlawanan yang kami akan hadapi, tetapi semua pemain adalah sama.

Yang penting adalah semua harus bersedia bertarung untuk kelab apabila diturunkan dan memberi 100 peratus.”

Beliau berpuas hati Selangor berjaya bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali untuk memenangi perlawanan itu.