Fayadh Zulkifli akui layangan kad merah jejaskan rentak permainan Kedah Darul Aman FC

188

Pemain sayap sensasi Kedah Darul Aman FC (KDA), Fayadh Zulkifli mengakui insiden layangan kad merah terhadap pemain pertahanan Kamil Akmal membuatkan rentak permainan pasukan sedikit terjejas.

“Bagi saya itu adalah salah satu yang bagi down sikit sebab kita perlukan menang tapi kena pula kad merah, jadi ia merencatkan permainan kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan mereka tumpas 2-1 di tangah Selangor FC.


Menurut Fayadh, berdasarkan persembahan yang dipamerkan oleh pasukan pada malam tadi, beliau yakin KDA mampu untuk menang atau sekurang-kurangnya seri.

“Perlawanan ini sepatutnya kami dapat seri atau menang tapi mungkin tiada rezeki jadi kami terpaksa akur tewas di tempat lawan.”

Dalam pada itu, pemain kebangsaan itu juga mengakui jika rakan sepasukannya Jonathan Balotelli berjaya memanfaatkan peluang di saat-saat akhir, mungkin keputusan perlawanan akan berbeza.

Beliau yang ditanya samada corak permainan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau diturunkan dalam kesebelasan utama berkata perkara itu terletak di atas ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

“Keputusan untuk diturunkan lebih awal atau tidak ia terpulang kepada jurulatih kerana jika saya diturunkan saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan.”

Sementara itu, Fayadh juga mengulas mengenai insiden dalam kotak penalti apabila beliau yang dijatuhkan oleh pemain pertahanan tidak dilayan oleh pengadil.

“Mungkin tak ada rezeki untuk saya jaringkan gol. Dari segi insiden itu, pengadil boleh menilai sendiri samada ia penalti atau tidak.”