Adakah individu sama bakal ketuai cabaran skuad B-23 negara pada kelayakan Piala Asia B-23?

368

Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian E Elavarasan akan berdepan Bangladesh, Filipina dan Thailand dalam Kumpulan H pada Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada September ini.

Pada kejohanan Sukan SEA baru-baru ini, skuad berkenaan gagal menepati sasaran untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.


Selepas kekecewaan di Sukan SEA, kelibat Elavarasan belum pernah lagi dilihat di media, terutama ketika skuad negara pulang selepas tersingkir dari kejohanan itu.

Ia bukan sahaja mengecewakan harapan peminat bola sepak tempatan, tetapi juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata bahawa pihak FAM dan beliau secara peribadi kecewa dengan kempen negara di Sukan SEA, dan akan menunggu laporan penuh daripada Elavarasan dan barisan teknikal mengenai prestasi pasukan sepanjang temasya sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil, yang dijangka disiapkan minggu ini.

Tetapi, FAM nampaknya masih belum lagi mengeluarkan laporan mengenai prestasi negara pada kejohanan tersebut.

Menjelang kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Thailand, masih ada kira-kira tiga bulan untuk skuad negara melakukan persiapan.

Persoalannya, adakah ketika itu Elavarasan masih diberi kepercayaan untuk membimbing skuad yang sama?

Buat masa ini, segala-galanya masih samar kerana laporan mengenai prestasi negara pada Sukan SEA masih belum kelihatan.

Tetapi sekiranya Elavarasan masih lagi jurulatih yang sama bagi menyahut cabaran negara pada pusingan kelayakan itu, beliau harus melakukan persediaan rapi dari sekarang supaya Malaysia tidak hampa seperti yang berlaku pada Sukan SEA.