Adakah Yusri Che Lah boleh bawa Perak FC lebih baik daripada apa yang Lim Teong Kim telah lakukan?

302

Selepas Perak FC memecat Lim Teong Kim daripada jawatan ketua jurulatih, kelab itu melantik Yusri Che Lah untuk mengisi jawatan tersebut sebagai jurulatih sementara The Bos Gaurus.

Ini bukanlah kali pertama beliau memegang jawatan itu kerana pada musim lalu beliau pernah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pasukan Perak dalam saingan Liga Perdana.


Yusri juga pernah melatih beberapa kelab dalam Liga Malaysia sejak 2014 lagi, namun boleh dikatakan prestasinya sebagai ketua jurulatih tidak begitu memberangsangkan.

Beliau memulakan karier kejurulatihan sebagai ketua jurulatih Perlis dalam saingan Liga FAM, sebelum berpindah ke Felcra pada 2015 juga dalam saingan Liga FAM.

Pada tahun 2018 barulah karier kejurulatihannya dalam liga profesional bermula apabila dilantik sebagai pembantu jurulatih Kelantan FC yang ketika itu bermain dalam saingan Liga Super di bawah ketua jurulatih, Sathit Bensoh.

Beliau menjadi jurulatih sementara dua kali pada musim itu, pertama ketika Bensoh meletak jawatan dan kedua selepas pengganti Bensoh, Fajr Ibrahim meletak jawatan juga.

Walaubagaimanapun, Kelantan di bawah kendalian Yusri ketika itu terpaksa akur tersingkir ke saingan Liga Perdana selepas menamatkan musim di tangga tercorot.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi ketua jurulatih Kuala Lumpur FA pada tahun 2019 namun meletakkan jawatan selepas beberapa bulan gara-gara prestasi yang tidak memberangsangkan.

Seterusnya, beliau dilantik menjadi ketua jurulatih Kelantan pada tahun 2020 dan membawa pasukan itu menamatkan saingan di tangga keenam Liga Perdana.

Selepas itu, beliau telah dilantik untuk membimbing Skuad Projek FAM-MSN pada tahun berikutnya, tetapi kempen Liga Perdana pasukan itu berakhir di tangga tercorot.

Yusri akhirnya dilantik sebagai ketua jurulatih Perak pada musim lalu dan menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua terakhir.

Sekiranya diukur daripada pencapaian beliau sebagai jurulatih, mungkin tidak banyak yang boleh dilakukan untuk pasukan Perak sekarang.

Namun, mungkin kali ini beliau sudah lebih matang dengan pengalaman yang diperolehinya dan mampu menggalas tugas tersebut.

Sekiranya pihak pengurusan tidak mahu mengambil risiko, mereka harus mencari pengganti Teong Kim dalam kadar yang segera.