Tomislav Steinbruckner akan beri peluang pada pemain simpanan menentang Kelantan FC esok
Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner memberi bayangan akan menurunkan beberapa pemain simpanan pada perlawanan suku akhir Piala FA menentang Kelantan FC yang akan berlangsung esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menurut Steinbruckner, beliau berkata demikian kerana mahu merehatkan beberapa pemain utama kerana baru sahaja turun beraksi pada Rabu lalu dalam perlawanan Liga Super menentang Penang FC.
“Mungkin kita akan memberi peluang kepada beberapa pemain fresh kerana kita bermain pada Rabu.
Saya mempunyai lebih 20 pemain yang mana saya yakin dengan kemampuan mereka dan tidak mustahil pemain ini akan memberikan aksi terbaik dan dapatkan kemenangan untuk pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Steinbruckner juga tidak menganggap perlawanan menentang Kelantan sebagai perlawanan mudah kerana baginya setiap perlawanan mempunyai cabaran tersendiri.
Beliau pada masa sama turut tidak melihat situasi semasa pasukan lawan memberi mereka kelebihan.
“Ya kita tahu Kelantan tidak berada pada situasi baik ketika ini tapi setiap perlawanan adalah cabaran baru dan kita perlu beri komitmen 100%. Ada yang cakap perlawanan mudah, tapi saya tak pernah ingat ada perlawanan mudah.”
Dalam pada itu, pengendali 56 tahun itu berharap pemain-pemainnya dapat mempamerkan aksi terbaik dan dapat menjaringkan gol sebanyak yang mungkin.
Beliau turut mahu pemainnya tidak ambil mudah pada perlawanan esok kerana dalam kejohanan piala seperti Piala FA, banyak kejutan mampu berlaku.