Saya terpaksa guna pemain apa yang ada apabila ambil alih pasukan ini – Frank Bernhardt
Ketua jurulatih Kelantan FC, Frank Bernhardt memberitahu bahawa beliau terpaksa menggunakan pemain sedia ada sejak mengambil alih pasukan itu oleh sebab itu prestasi pasukan tidak konsisten.
Bernhardt berkata demikian selepas pasukannya tewas 4-2 kepada Terengganu FC dalam perlawanan suku akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin petang tadi.
“Saya perlu katakan di sini adalah pemain-pemain ini adalah bagus tetapi saya tiada kaitan dengan keadaan pasukan ketika ini kerana saya hanya ambil alih pasukan ini dan terpaksa guna apa yang ada,”
katanya.
Beliau pada masa sama turut menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap prestasi pemain-pemain importnya yang disifatkan setaraf dengan pemain tempatan.
“Ada perlawanan yang okay dan ada perlawanan yang mereka setaraf dengan pemain tempatan sahaja.
Pengalaman saya di sini sebelum ini jika saya ada pemain import, mereka akan memimpin pasukan dan sangat baik berbanding pemain tempatan. Ya kita mempunyai import yang besar tetapi mereka tiada kekuatan seperti pemain import lawan yang lebih kuat.”
Disebalik kekecewaan itu, Bernhardt juga memuji semangat juang pemain yang berjaya mengekang banyak asakan pasukan lawan termasuk tidak membenarkan pemain lawan mencipta dan menyempurnakan peluang.
Selepas ini, The Red Warriors akan bertemu dengan Kelantan United FC untuk perlawanan ‘derby’ untuk saingan Liga Super pada 2 Jun ini.
“Kita tidak boleh mengalah dan perlu terus fokus untuk perlawanan seterusnya dan jika kita ambil perlawanan petang tadi dari segi positif, kita mempunyai peluang untuk mendapat keputusan positif nanti.”