Miguel Cifuentes seperti beri bayangan ada kemungkinan berhijrah tapi masih hormat pada Kelantan FC
Pemain import sensasi Kelantan FC, Miguel Cifuentes seperti memberi bayangan bahawa ada kemungkinan untuk beliau berhijrah pada jendela perpindahan kedua nanti, namun enggan komen lanjut kerana hormat kontraknya bersama kelab itu.
“Pada pertengahan musim mungkin ada kemungkinan untuk tukar pasukan atau terus kekal tapi saya mahu hormat kontrak saya bersama Kelantan dan peminat.
Namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku tapi saya bersyukur dengan peluang dapat bermain untuk kelab ini dan sangat hargai sokongan daripada peminat,”
katanya.
Terdahulu, Kelantan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin petang tadi untuk perlawanan suku akhir Piala FA yang menyaksikan mereka tewas 4-2 di tangan Terengganu FC.
Biarpun akur dengan kekalahan pada petang tadi, Cifuentes enggan berputus asa sebaliknya mahu terus fokus untuk perlawanan seterusnya untuk mencari keputusan positif.
“Kami perlu reset minda dan akan fokus untuk perlawanan seterusnya untuk cuba dapatkan keputusan positif demi peminat.”
Dalam pada itu, beliau turut mengakui situasi yang sedang melanda Kelantan adalah momen yang cukup sukar buat kariernya sebagai pemain bola sepak.
“Ya, ini adalah kali pertama saya berdepan situasi teruk dan sukar, tapi inilah bola sepak dan kita tidak boleh terus sedih dan sebagainya, sebaliknya perlu mengatasi situasi yang berlaku.”