Bukan salah jurulatih, tetapi pemain yang ada di Perak tidak cukup untuk bersaing di peringkat tinggi

1,342

Selepas memecat Datuk Lim Teong Kim dari jawatan ketua jurulatih, Perak FC melantik ketua jurulatih skuad Piala MFL pasukan itu, Yusri Che Lah untuk mengisi kekosongan itu buat sementara waktu.

Di bawah kendalian Yusri, beliau mungkin melakukan beberapa perubahan dari segi strategi dan barisan pemain dalam pasukan Perak.


Dalam kalangan peminat, ada yang mencadangkan supaya beberapa pemain daripada skuad kedua dibawa masuk ke dalam pasukan senior seperti Christian Obiozor, Khairul Asyraf Ramli dan Zul Fikri Jamilulhayat.

Sementara itu, perancangan Yusri masih menjadi persoalan sama ada boleh membawa perubahan kepada pasukan Perak.

Bagaimanapun, sekiranya pemain-pemain yang disebut itu memang cukup bagus untuk berada dalam pasukan utama, mereka pastinya telah diberi peluang dari awal lagi.

Tetapi tidak sampai separuh musim, Teong Kim telah dipecat kerana tidak menepati apa yang dimahukan oleh kelab.

Jadi harus diakui bahawa pemain-pemain yang ada di Perak ketika ini mempunyai bakat tetapi kualiti mereka masih belum mampu bersaing di tahap tertinggi.

Penyokong dan pengurusan haruslah realistik dan tahu bahawa proses membina skuad yang baru memang akan memakan masa.

Mereka perlu jelas bahawa kebanyakan pemain masih baru dan masih mencari pengalaman jika dibandingkan dengan pemain kelab lain yang lebih berkualiti.

Perubahan pasukan perlu berlaku untuk membina pasukan bergerak ke hadapan tidak seperti sebelum ini yang masih lagi dalam keadaan terumbang-ambing.

Perak FC sekarang berada di tangga ke-11 liga dengan hanya menang dua perlawanan.

Harapan tinggi tidak boleh diletakkan di bahu Yusri kerana beliau juga memiliki pemain yang sama dengan apa yang dimiliki Teong Kim sebelum ini, dan tiada jalan pintas yang boleh dibuat untuk meningkatkan kualiti pasukan.