Jamuan makan Kelantan FC 3 Jun ini, bukan saja penyokong patut datang tetapi pihak yang terlibat isu gaji

1,158

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham akan menganjurkan satu jamuan makan untuk bertemu dengan para peminat pada 3 Jun 2023 bertempat di Zamburger Kelantan di Kota Bharu.

Menurut Zamsaham, acara jamuan makan itu juga akan menampilkan sesi soal jawab, dijangka untuk menjawab segala kemelut yang dikaitkan dengan pasukan itu sejak kebelakangan ini.


Kelantan boleh dikatakan pasukan bola sepak Malaysia yang paling panas ketika ini dengan segala pertuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap pasukan itu termasuklah daripada bekas pemain, pegawai dan juga sebilangan penyokong.

Ini pastinya akan menarik minat ramai penyokong Kelantan yang tidak mahu melepaskan peluang untuk cuba mendapatkan kebenaran dari pihak pengurusan sendiri tentang perkara tersebut.

Selain itu, acara tersebut dilihat sebagai satu peluang yang baik buat pihak pengurusan menjelaskan kepada semua pihak mengenai apa yang berlaku dan menyangkal segala serangan sekiranya mereka di pihak yang benar.

Bukan sahaja penyokong tetapi beberapa individu serta pihak lain juga dilihat harus hadir ke perjumpaan itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai situasi Kelantan ketika ini.

Pertama sekali pastinya pemain yang terlibat dalam kemelut tersebut terutama sekali penjaga gol, Farhan Abu Bakar, yang sejak kebelakangan ini begitu ‘agresif’ menyerang pengurusan pasukan disebabkan tidak berpuas hati dengan isu gaji.

Beliau memuatnaik perbualannya dengan pihak pengurusan Kelantan mengenai isu gaji yang tidak dibayar penuh.

Perjumpaan itu dilihat sesuai buat Farhan dan para pemain lain mendapatkan kebenaran dengan bertanya terus kepada pemilik dan pihak pengurusan kelab.

Memandangkan penyokong juga akan hadir pada perjumpaan itu, mereka sendiri boleh menilai pihak yang betul yang salah.

Selain itu, penganjur liga, pihak Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu hadir ke perjumpaan itu kerana masing-masing merupakan badan yang berkuasa dalam hal-hal berkaitan bola sepak Malaysia.

MFL sebagai penganjur perlu tahu kebenaran apa yang berlaku kerana mungkin ada info berguna yang boleh didapati dari perjumpaan itu.

FAM pula merupakan badan yang akan dirujuk untuk mengambil tindakan terhadap kes tunggakan gaji seperti yang berlaku kepada pasukan Melaka United dan Sarawak United, di mana Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) FAM terlibat dalam menyelesaikan masalah itu.

Selain itu, jawatankuasa tatatertib FAM juga adalah antara entiti yang bakal terlibat sekiranya didapati berlaku sebarang masalah tentang gaji.

Pastinya FAM tidak mahu kes melibatkan Kelantan ini dibawa sehingga ke peringkat FIFA, sepeti kes Sarawak United, kerana ia boleh mencalarkan lagi reputasi bola sepak negara.

Mungkin ini bukanlah satu nama yang dianggap perlu, tetapi wakil dari Johor Darul Ta’zim (JDT) juga mungkin boleh hadir ke perjumpaan itu kerana mereka dikhabarkan akan meminjamkan pemain ke Kelantan pada jendela pendaftaran pemain kedua nanti.

Justeru, adalah lebih baik sekiranya mereka mengetahui apa yang berlaku di kelab itu supaya tidak memberi kesan buruk kepada pemain yang dipinjam nanti.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga sebelum ini pernah berkata bahawa JDT adalah sebuah pasukan yang tidak sama seperti pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia, kerana sentiasa mahu menyediakan yang terbaik dari setiap segi seperti rumput, infrastruktur, perayaan dan hinggalah ke tempat simpan baja.

Justeru, pemain yang ingin dihantar untuk pinjaman juga pastinya mahu diletakkan di kelab yang baik dan tidak bermasalah.

Bukan itu saja, wakil daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) juga perlu hadir ke perjumpaan itu.

Sebagai badan yang memperjuangkan hak pemain, mereka perlu mendengar sendiri daripada mulut pemilik dan pihak pengurusan mengenai kemelut gaji yang melanda.

Presiden PFAM, Safee Sali sendiri yang mengakui bahawa kes tersebut telah sampai ke pengetahuan badan itu dan pihaknya akan membuat tindakan lanjut.

Seorang lagi individu yang perlu hadir adalah ketua jurulatih, Frank Bernhardt yang pernah merungut mengenai para pemain yang tidak cukup bagus.

Mungkin isu gaji yang berlaku ini menyebabkan prestasi para pemain menurun, jadi beliau boleh mendapatkan penjelasan sendiri daripada pemilik dan pihak pengurusan kerana ia memberi kesan terhadap prestasi pasukan.

Tambahan pula, beliau kini dilihat tidak selamat selepas mencatatkan enam kekalahan sejak dilantik menjadi ketua jurulaih pasukan itu, sedangkan sebelum ini Zamsaham pernah berkata bahawa Bernhardt akan dipecat jika tewas lima perlawanan.

Apa-apa pun perjumpaan itu pastinya menarik untuk disaksikan oleh seluruh peminat bola sepak negara yang mengikuti kemelut melibatkan Kelantan sejak dari awal lagi.

Siapa di pihak yang benar dan siapa di pihak yang salah harap dapat dibuktikan ketika sesi perjumpaan itu.