Tiada kompromi soal disiplin, Buriram United ‘buang’ pemain gaduh ketika perlawanan

2,053

Pada perlawanan akhir Piala FA 2022/23 hari ini, berlaku pergelutan antara pemain Buriram, Jonathan Bolingi dan jurulatih kecergasan Bangkok United, Rodrigo Squinalli.

Presiden Buriram United, Newin Chidchob mengumumkan bahawa kelab itu tidak akan memperbaharui kontrak dengan Jonathan Bolingi.


Membuktikan kelab dari Thailand, Buriram bukan sekadar kuat di dalam padang malah mereka juga amat mementingkan perkara di luar padang.

Untuk Buriram United, tidak ada toleransi bagi pemain yang tidak berdisiplin, mereka akan dikenakan hukuman yang tegas.

Kelab itu sebelum ini pernah mengenakan denda terhadap pemain, Thirapak Prueangna dengan menggantungnya selama enam bulan, manakala gajinya pula akan ditolak sebanyak 25 peratus selama tempoh tersebut gara-gara terlibat dalam insiden pergaduhan pada perlawanan akhir Sukan SEA menentang Indonesia baru-baru ini.

Sebagai antara kelab yang terbaik di Asia Tenggara, apa yang dilakukan Buriram United itu amat membuka mata dalam menjaga nama baik kelab tersebut.

Disamping dari ketegasan, Buriram juga turut pandai menjana pendapatan kelab tersebut dengan baik.

Menurut laporan, kelab tersebut pernah menjana sebanyak €750,000 (RM3.7 juta) dalam satu hari dengan menjual cenderahati pasukan termasuk jersi, nilai yang lebih banyak berbanding pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bukan hanya memberi tumpuan kepada memenangi gelaran juara sahaja, tetapi misi kelab adalah untuk memperluaskan potensi mereka dalam menjana pendapatan cenderahati kelab.

Kelab itu berjaya membudayakan pemakaian jersi, di mana penyokong dididik untuk menyarung jersi dalam pelbagai acara dan di mana-mana tempat.

Kehebatan pasukan Buriram United juga turut dirasai oleh pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools yang cemerlang dengan kejuaraan ‘treble’ pada musim ini.

Walaupun menyertai pasukan itu ketika pertengahan musim, beliau berjaya memainkan peranan penting untuk membantu kelab itu meraih gelaran juara liga, Piala FA dan Piala Liga Thailand.

Diharapkan beliau kekal bermain di liga Thailand kerana liga di sana lebih kompetitif dan tahapnya boleh dianggap yang terbaik di Asia Tenggara.

Di Buriram United, Dion Cools juga masih boleh bermain di tahap tertinggi di Asia kerana kelab itu layak ke saingan AFC Champions League (ACL).