Zamsaham beri penjelasan di Facebook, ejen Korea Selatan nasihat jangan percaya, perjumpaan 3 Jun ini akan lebih rancak
Ketika ini, isu gaji yang melanda pasukan Kelantan begitu hangat diperkatakan oleh peminat bola sepak tempatan, dan kini sudah mendapat perhatian pihak tertentu seperti Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Selepas sekian lama mendiamkan diri, pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham tampil membuat penjelasan dan mempertahankan diri mengenai isu tersebut.
Dalam satu hantaran Facebook, beliau menafikan bahawa segala dakwaan mengenai tunggakan gaji yang tertunggak selama dua bulan adalah tidak benar.
Tetapi, beliau mengakui bahawa gaji pemain pada bulan April telah ditahan kerana keputusan buruk yang terus menerus dicatat oleh pasukan.
Katanya, sebelum ini beliau tidak pernah culas membayar gaji pemain secara penuh walaupun ada kelewatan, cuma kali ini beliau mahu pemain menunjukkan permainan bersungguh-sungguh supaya berbaloi dengan usaha kerasnya mencari wang buat pasukan.
Beliau berkata, jika tidak menang, para pemain harus berusaha untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dan jika tewas, pastikan tewas dengan bermaruah.
Zamsaham juga berjanji akan membayar baki 50 peratus gaji yang ditahan tersebut, dan menegaskan bahawa beliau mahu pasukan itu mencatatkan kemenangan.
Selain itu, dalam hantaran yang lain, beliau ada meminta semua pihak supaya mendoakan dirinya menang kes tuntutan hutang yang bernilai RM3.8 juta ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Jelasnya, wang tersebut mahu digunakan untuk membuat padang latihan buat pasukan Kelantan.
Tahun lalu, Zamsaham pernah mendedahkan bahawa beliau sedang membawa kes terhadap persatuan itu kerana gagal membayar hutang sebanyak RM3.93 juta.
Dalam pada itu, ejen daripada Korea Selatan, Leo Jeong yang mendakwa Zamsaham tidak membayar gaji jurulatih di bawah jagaannya, Choi Moon-sik dan tidak melayan para pemain dengan baik tidak berdiam diri dengan segala hantaran yang dilakukan oleh Zamsaham itu.
Beliau menasihati penyokong kelab supaya tidak tertipu dengan Zamsaham yang akan menagadakan jamuan makan bersama penyokong pada 3 Jun ini.
Jelas Leo Jeong, para pemain dan jurulatih sudah mengetahui segala yang berlaku jadi penyokong tidak harus tertipu dengan apa yang Zamsaham mahu jelaskan pada perjumpaan itu.
Terdahulu, Leo Jeong dilaporkan sudah membawa kes melibatkan Kelantan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk membuat tuntutan.
Perkembangan ini pastinya bakal merancakkan lagi majlis perjumpaan yang diatur pada Sabtu ini di Zamburger Kelantan, Kota Bharu.
Tentunya ramai pihak yang mahu mendapatkan kebenaran dan mendengar sendiri apa yang berlaku daripada mulut pemilik.