Bergson dahului undian penyerang terbaik ACL 2022, buktikan dirinya bukan sekadar ‘jaguh kampung’

393

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva telah mendahului kedudukan undian 10 pemain penyerang terbaik dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 dalam undian pilihan peminat.

Musim lalu, JDT telah menjadi juara kumpulan, walaupun berdepan jaguh Asia seperti Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou dan membawa skuad Harimau Selatan berada di pusingan 16 terbaik bagi kempen ACL buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.


Berada di kelasnya yang tersendiri, Bergson membuktikan beliau bukan sekadar ‘jaguh kampung’ dan boleh menjadi antara yang terbaik di peringkat Asia.

Sentuhan penyudah Bergson membuktikan beliau adalah penyerang yang berkualiti tinggi.

Penyerang berasal dari Brazil itu mampu menempa nama di pentas Asia setanding dengan kelab terkemuka Asia yang lain.

Menjadi kebanggaan JDT, setiap musim penampilan Bergson sangat sukses dalam setiap perlawanan biarpun berdepan dengan pertahanan berkelas dunia di kejuaraan ACL.

Menurut rekod penampilannya, Bergson telah mencipta enam gol, memenangi 34 perebutan bola diudara dan melakukan sebanyak 20 percubaan ke arah gol dan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sewaktu kempen ACL 2022.

Pengiktirafan yang diberikan para peminat ini membuktikan bahawa Bergson adalah antara seorang penyerang paling berbisa di Asia.

Untuk menjadi yang terbaik seperti kelab bola sepak antarabangsa, jelas diakui bahawa JDT telah menunjukkan pemain mereka juga mendapat perhatian di luar negara.

Itulah yang diterapkan oleh JDT bagi memastikan nama mereka menjadi dikenali.

Ini adalah satu petanda yang positif untuk kelab itu untuk mencapai visi dan misi dalam usaha melangkah lebih jauh di ACL dan menjadi salah satu pasukan terbaik di Asia.