Gandingan Hamidin & Hannah semakin serasi, satu petanda baik buat arena sukan terutama di Olimpik 2024

365

Gandingan antara Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dilihat semakin menjadi dalam mewujudkan persekitaran yang baik dalam arena sukan negara.

Mempunyai keserasian yang baik, kedua nama besar ini berjaya memainkan peranan bersama dalam menerajui arena sukan di negara ini.


Ia adalah petanda baikuntuk masa depan sukan negara, terutama pada Sukan Olimpik 2024 nanti agar pencapaian sukan negara menuju ke arah yang positif dan terus mengalami peningkatan.

Baru baru ini, Hamidin ada meminta semua pihak berhenti menyalahkan Hannah atas kegagalan Malaysia mencapai sasaran pada Sukan SEA 2023 di Kemboja lalu.

Jelasnya, Hannah sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sejak dilantik menjadi menteri, namun tempoh singkat mengehadkan gerak kerjanya menjelang temasya itu.

Hamidin juga menyifatkan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) harus bertanggungjawab atas prestasi atlet negara kerana kebanyakannya berkolaborasi dengan persatuan.

Semangat seperti ini diperlukan supaya membawa satu persekitaran yang positif dalam usaha kerjasama bertujuan untuk meningkatkan mutu sukan negara.

Imbas kembali permulaan gandingan mereka menjadi perhatian sewaktu Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil yang tahun lalu, kedua-duanya dilihat bersama bersorak gembira meraikan gol serta kemenangan skuad Harimau Malaya.

Biarpun ramai yang memerli dan mengecam kedua-duanya kerana ‘insiden’ berpegangan tangan ketika bersorak, mereka tidak mengendahkan tentang perkara seperti itu dan terus bekerjasama demi sukan negara.

Sejak dari itu boleh dikatakan banyak acara, majlis dan urusan rasmi sukan negara juga kerap dihadiri oleh mereka berdua.

Tambahan pula, sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, pastinya kerjasama daripada semua pihak terutama Menteri Belia dan Sukan sendiri diharapkan untuk mencapai kejayaan.

Walaupun ini merupakan pertama kali memegang jawatan Menteri Belia Sukan, Hannah dilihat tidak pernah malu untuk merujuk dan berjumpa dengan tokoh yang lebih berpengalaman daripadanya, seperti Hamidin yang mempunyai banyak pengalaman dalam pengurusan sukan.

Diharap gandingan nama besar ini dapat membawa perubahan ke arah arah membawa sukan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.