Bayar mahal untuk atur ‘friendly’ dengan Argentina, tetapi PSSI dijangka untung lebih banyak daripada perlawanan itu

1,601

Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir mendedahkan sasaran pulangan pendapatan sebanyak 260 bilion Rupiah (hampir RM 80 juta) daripada perlawanan Indonesia menentang Argentina pada hari perlawanan persahabatan 19 Jun ini.

PSSI juga membuka jualan tiket untuk kapasiti 60,000 penonton di Stadium Utama Gelora Bung Karno, walaupun stadium itu dapat menampung kapasiti sehinnga 77,000 penonton atas faktor keselamatan.


Tiket bermula pada harga 600,000 rupiah (RM184) untuk Cat 3, 1.2 juta rupiah (RM368) untuk Cat 2, 2.5 juta rupiah untuk Cat 1 dan 4.25 juta rupiah (RM1305) untuk tempat duduk VIP.

Hasil pendapatan yang akan diterima PSSI dibahagikan daripada penjualan tiket, hak penyiaran televisyen dan tajaan dan Erick Thohir juga mendedahkan bahawa beliau akan menerima bantuan daripada pihak kerajaan Indonesia.

Menurut laporan, selepas berjaya menjuarai Piala Dunia 2022, kos untuk menjemput Argentina untuk mengadakan perlawanan persahabatan boleh menelan belanja minimum sebanyak USD5 juta (RM 24 Juta).

Walaupun pada awalnya ada pihak yang mentertawakan PSSI kerana membelanjakan sejumlah besar wang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Argentina, ia sebenarnya merupakan perancangan yang bagus kerana usaha ini mendapat hasil pulangan yang lumayan bagi menjana kewangan, dan dapat membantu mengisi kantung PSSI.

Erick menunjukkan bahawa beliau ingin membawa perubahan kepada PSSI sama ada dari pencapaian pasukan mahu pun dari segi kewangan kerana baginya PSSI perlu mempunyai strategi pegurusan dengan betul.

Beliau yang baru saja memegang jawatan itu sejak Februari tahun ini dilihat sebagai individu yang tepat dalam membawa perubahan kepada PSSI dan bola sepak Indonesia.

Ahli perniagaan berusia 52 tahun itu juga bukanlah nama asing dalam bola sepak antarabangsa kerana pernah menjadi pemilik kelab gergasi Itali iaitu Inter Milan FC pada tahun 2013.

Setelah beliau mengambil alih, telah banyak kejayaan yang dicapai oleh bola sepak Indonesia antaranya berjaya menamatkan kemarau 32 tahun untuk menjuarai acara bola sepak lelaki Sukan SEA baru-baru ini.

Walaupun Indonesia telah ditarik balik sebagai hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia B-20 sebelum ini, ia tidak menghalang Erick daripada menebus kekecewaan itu dan bangkit membawa bola sepak Indonesia bergerak ke hadapan.

Dalam tempoh yang singkat ini, beliau mungkin sudah membuatkan peminat tidak merasa rindu terhadap presiden sebelumnya, Mochamad Iriawan atau Iwan Bule.