Pemain muda Indonesia dapat ilmu berharga dilatih empat legenda bola sepak dunia

64

Empat pemain bola sepak legenda dunia iaitu Juan Sebastian Veron, Marco Materazzi, Eric Abidal dan juga Roberto Carlos berada di Indonesia untuk melatih skuad muda di sana dalam program Brimo Future Garuda yang berlangsung pada 29 Mei hingga 2 Jun.

Ia adalah jemputan daripada Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir dalam acara kerjasama antara badan itu dan Badan Usaha Milik Negara (BUMN).


Pemain-pemain muda dari pelbagai kelab di Indonesia akan dijemput untuk menghadiri sesi latihan itu yang ternyata bakal memberi manfaat buat diri mereka.

Jelas Erick, kehadiran legenda-legenda tersebut merupakan satu yang isitimewa kepada pemain muda ini untuk menimba ilmu dan serta bimbingan kepada generasi kini.

Mungkin Malaysia juga boleh menjemput bintang legenda bola sepak terkemuka dunia seperti itu datang untuk mengadakan kelas latihan.

Ini adalah peluang untuk pemain muda merasakan pengalaman dilatih legenda sebagai penghormatan besar kepada mereka.

Sebelum ini, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pernah menjemput bekas penjaga gol Brazil, Julio Cesar hadir ke Stadium Sultan Ibrahim ketika aksi Piala Sumbangsih awal tahun ini.

Alangkah bagusnya sekiranya dapat menyusun satu klinik bola sepak untuk beliau berkongsi ilmu serta pengalaman kepada pemain-pemain muda kelab itu.

Pemain-pemain muda pasti berasa teruja dan berbesar hati jika peluang ini dapat dirasai sekali seumur hidup mereka.

Segalanya bermula dengan pendedahan awal yang akan dibuat supaya dapat membantu pemain dalam proses mencari ilmu.

Dengan pengalaman mendekati legenda hebat yang mempunyai banyak pencapaian, kelas seperti itu dapat menyuntik motivasi dalam kalangan pemain muda untuk menjadi bintang seperti mereka.