Nurshamil beri bayangan bakal berhijrah beri petanda lebih ramai pemain akan ‘cabut lari’ pada jendela perpindahan kedua nanti?

4,235

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Kelantan FC menjadi tumpuan ramai terutamanya peminat bola sepak tanah air berikutan isu demi isu melanda kelab itu terutamanya membabitkan isu gaji.

Kelantan yang sebelum ini dilihat sebagai sebuah kelab contoh kepada kelab-kelab dek pengurusan yang bagus akhirnya terbongkar sisi sebenar selepas pemergian bekas ketua jurulatih Choi Moon-sik.


Pemain-pemain juga sudah mula berani untuk tampil apabila sebanyak 20 pemain telah membuat aduan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengenai isu gaji yang melanda pasukan.

Terbaru, penyerang sensasi The Red Warrior iaitu Nurshamil Abd Ghani yang tampil dalam siaran TikTok secara langsung bersama beberapa rakan sepasukan dengan terbuka memberitahu bahawa dirinya sudah tiada hati untuk bermain untuk kelab dari Pantai Timur itu.

Malah Nurshamil juga seperti memberi bayangan bahawa beliau akan berhijrah ke pasukan baru pada jendela perpindahan kedua pada bulan Jun ini.

Walaipun tiada butiran lanjut mengenai kelab baru yang mungkin akan menjadi destinasi seterusnya, kenyataan beliau juga umpama memberi petanda bahawa lebih ramai pemain dari kelab itu akan mengambil tindakan sama untuk ‘cabut lari’ dari kelab itu berikutan isu gaji yang dihadapi oleh mereka.

Ia adalah satu perkara yang cukup tidak baik untuk Kelantan sekiranya ramai pemain kelab itu ambil keputusan untuk keluar beramai-ramai.

Jika perkara ini jadi kenyataan, apa yang akan berlaku kepada kelab itu? Adakah mereka akan mempunyai jumlah pemain yang cukup untuk terus bersaing di Liga Super?

Dalam pada itu, semalam pemilik kelab Norizam Tukiman telah mengeluarkan kenyataan menafikan berlakunya tunggakan gaji pemain selama dua bulan, sebaliknya beliau hanya ‘tahan’ gaji.

Malah beliau juga berjanji akan membayar baki gaji yang ditahan iaitu sebanyak 50%.

Norizam atau mesra dengan panggilan Zamsaham juga menjemput peminat-peminat untuk hadir ke sesi soal jawab bersamanya pada 3 Jun ini di Zamburger Kelantan, Kota Bharu di mana beliau akan menjawab dan menjelaskan mengenai segala kontroversi yang melanda kelab itu.