Sebagai jurulatih saya mahu pemain timba pengalaman di peringkat antarabangsa, tapi kita juga perlu jaga kebajikan pasukan – TCH
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe memberitahu bahawa beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk melihat keperluan untuk melepaskan pemainnya untuk menyertai pasukan kebangsaan B-23 ke kejohanan Piala AFF B-23 yang akan berlangsung pada Ogos nanti.
Menurut Cheng Hoe, sebagai jurulatih beliau sememangnya mahu pemain timba pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
“Kalau kita lihat jadual tersebut bertindah dengan jadual Liga Super, jadi kita kena lihat keperluan untuk lepaskan pemain kepada skuad B-23 kerana kita juga ada tugasan untuk kelab juga.
Yang penting sebagai jurulatih saya mahu pemain timba pengalaman di peringkat antarabangsa, tapi kita juga perlu jaga kebajikan pasukan. Apa yang penting kedua-dua pihak akan dapat situasi menang-menang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon telah memberitahu bahawa pihak mereka akan bersikap selektif dalam melepaskan pemain B-23 sekiranya perlawanan itu tiada dalam kalendar antarabangsa FIFA.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan mempertimbangkan untuk melepaskan pemain sekiranya pemain yang dipanggil itu bukan tonggak utama pasukan.
Harimau Muda di bawah kendalian E. Elavarasan telah diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Timor-Leste di Chonburi, Thailand.
Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Indonesia pada 18 Ogos dan Timor-Leste pada 22 Ogos. Dalam pada itu, pengendali Gergasi Merah itu nyata gembira dengan prestasi pasukan ketika ini apabila mereka berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 3-1 pada Sabtu lalu.
“Satu pencapaian terbaik pasukan layak ke peringkat separuh Piala FA tahun ini yang mana ia satu kemenangan yang cukup penting untuk pasukan.”
Pada musim lalu Selangor turut berjaya layak ke separuh akhir Piala FA, namun mereka tewas kepada Terengganu FC 4-1 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa tambahan.