Kurang lima bulan lagi kelayakan Piala Futsal Asia, skuad Malaysia masih tidak ada ketua jurulatih

246

Saingan kelayakan kejohanan Futsal Piala Asia 2024 akan bermula pada 2 hingga 3 Oktober ini dan Malaysia telah diletakkan dalam Pot 3 daripada 31 negara yang akan bertanding.

Kali terakhir Malaysia layak ke kejohanan itu adalah pada tahun 2018 yang diadakan di Taiwan di mana Malaysia tersingkir pada pusingan pertama.


Pada dua edisi lalu, iaitu pada 2020 dan 2022, Malaysia tidak berjaya selepas tersungkur di pusingan kelayakan.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan itu adalah mara ke pusingan kedua pada tahun 2005 di Vietnam.

Dengan saingan kelayakan itu yang semakin hampir, satu persoalan penting yang masih belum terjawab sehingga kini adalah siapa yang akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih futsal negara untuk mengharungi saingan itu.

Pada Februari tahun ini, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman mengesahkan bahawa bekas ketua jurulatih, Chiew Chun Yong sudah tidak lagi mengendalikan pasukan futsal kebangsaan dan tempatnya akan digantikan oleh seorang jurulatih dari luar negara.

Namun selepas kira-kira tiga bulan, pasukan futsal negara masih belum mempunyai seorang ketua jurulatih.

Ini jelas sesuatu yang membimbangkan, lebih-lebih lagi dengan prestasi skuad futsal negara yang tidak begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

Bagaimana mahu melihat kemajuan arena futsal negara sekiranya perkara asas seperti pelantikan ketua jurulatih pun masih tidak selesai.

Di saat pasukan lain mungkin kebanyakannya sudah mula melakukan persiapan, Malaysia masih lagi menanti-nanti individu yang bakal membimbing pasukan.