Shahrul Nazeem akan lebih berwaspada bertemu PDRM FC hujung minggu ini

115

Pemain pertahanan Selangor FC, Shahrul Nazeem memberitahu bahawa beliau tidak memandang rendah dengan kemampuan pasukan PDRM FC dan akan berwaspada apabila menentang mereka dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu ini.

Ini kerana menurut Shahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Afro, PDRM mempunyai kemampuan untuk melakukan serangan yang cukup efektif.


“Bagi saya seperti yang kita tahu, kita perlu berhati-hati dengan serangan balas mereka. Kami perlu fokus sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Kita tidak boleh pandang rendah kepada PDRM kerana mereka sebuah pasukan yang baik. Apa yang penting kita perlu fokus dan perlu jaringkan gol untuk memperoleh kemenangan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Biarpun skuad The Cops sebelum ini dianggap sebagai pasukan mudah, namun mereka telah membuktikan sebaliknya apabila mereka berjaya memberi saingan cukup sengit untuk pasukan-pasukan besar termasuk melakukan kejutan menewaskan Kedah Darul Aman FC pada Mac lalu.

Dalam pada itu, walaupun Selangor kurang mendapat clean sheet, tapi Afro mengakui prestasi pasukan pada musim ini lebih baik berbanding musim lalu.

“Seperti kita tahu, kita dibolosi tapi bagi saya prestasi pasukan lebih bagus dari musim lalu. Saya rasa kami perlu perbaiki barisan pertahanan.

Jadi menentang PDRM saya harap barisan pertahanan akan memberikan aksi terbaik untuk memastikan kita clean sheet.”

Sementara itu, Afro juga berharap beliau dan rakan sepasukannya dapat memanfaatkan kelebihan mereka terutamanya dalam situasi set pices bagi memastikan ia dapat diterjemahkan dengan jaringan.

Kedua-dua pasukan kini dalam misi untuk mencari kemenangan kerana Selangor mahu merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala PDRM pula mahu memperbaiki kedudukan mereka yang kini di kedudukan ke-10.