Harimau Malaya bakal mudah ‘ratah’ Papua New Guinea?

387

Peminat bola sepak tanah air terutamanya mereka yang berada di Terengganu nyata teruja dan tak sabar untuk menunggu perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pasukan kebangsaan Malaysia pada Jun ini.

Ini kerana dua perlawanan persahabatan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 14 Jun menentang Kepulauan Solomon, manakala pada 20 Jun skuad negara sepatutnya bertemu dengan Yemen.


Namun perlawanan menentang Yemen terpaksa dibatalkan berikutan pasukan itu menarik diri semalam atas alasan ketiadaan pemain utamanya kerana menyertai skuad B-23 untuk kejohanan West Asian Championship di Iraq.

Biarpun keputusan di saat-saat akhir itu mengejutkan ramai peminat, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti sudah mempunyai ‘back-up plan’ apabila hari ini telah mengumumkan pasukan gentian iaitu Papua New Guinea.

Pengumuman itu membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai kekuatan skuad yang dikenali dengan jolokan Cuscus itu kerana tidak ramai mengetahui mengenai kekuatan pasukan, pemainnya termasuk siapakah ketua jurulatih mereka ketika ini.

Berdasarkan semakan di laman Wikipedia, pasukan itu kini dibimbing oleh Santiago Marina yang mana pasukan itu berada di kedudukan ranking ke-159 dunia sekaligus memberi gambaran skuad kendalian Kim Pan-gon mungkin mampu mudah ‘ratah’ pasukan itu nanti.

Majoriti pemain pasukan itu pula bermain di liga domestik, Papua New Guinea National Soccer League dengan hanya dua pemain sahaja yang bermain di luar negara di Australia.

Penyerang Tommy Semmy adalah pemain berusia 28 bermain untuk Dandenong City SC yang beraksi di liga NPL Victoria 2, manakala Lee Navu Faunt berusia 20 tahun pula bermain untuk Bangalow Bluedogs SC.

Namun ini bukan kali pertama skuad negara akan bertemu dengan Papua New Guinea ini kerana berdasarkan rekod, kedua-dua pasukan ini pernah bertemu sebanyak empat kali dengan Malaysia pernah menang tiga kali dan kalah sekali.

Dua perlawanan terakhir kedua-dua pasukan ini adalah pada 17 Jun 2016 dan 14 November 2016 untuk perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang mana skuad negara tewas 2-0 pada perlawanan pertama dan menang 2-1 pada perlawanan kedua.

Untuk tahun 2022, Papua New Guinea telah mengharungi sebanyak enam perlawanan dengan berjaya memperoleh empat kemenangan dan hanya tewas dua kali sahaja.

Bagi tahun ini, mereka akan menentang negara jiran Singapura pada 15 Jun ini di Kota Singa terlebih dahulu sebelum menentang Malaysia pada 20 Jun ini.

Melihat pada rekod pertemuan dan prestasi semasa skuad negara, Harimau Malaya dilihat tiada masalah untuk memperoleh kemenangan, tetapi dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

Oleh itu, sama-sama kita tunggu dan saksikan perlawanan antara kedua-dua pasukan ini samada akan memihak pada pasukan tuan rumah atau pelawat.