Bekas jurulatih kecergasan Kelantan FC dedah pernah dicekik Zamsaham pada hari perlawanan
Bekas jurulatih kecergasan pasukan Kelantan FC, Kamarul Dinis Kamarudin telah tampil membuat pendedahan mengenai sikap pemilik kelab itu iaitu Norizam Tukiman yang pernah bertindak ganas dengan mencekiknya ketika hari perlawanan Liga Perdana musim lalu.
Menurut Kamarul, insiden itu berlaku ketika rehat separuh masa pertama dalam perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Ketika saya bersama Kelantan tahun lepas di mana ketika itu kita berada di puncak liga, pemain-pemain tiada masalah kecederaan dan semuanya okay sehinggalah pada perlawanan di Stadium Cheras lawan dengan PDRM.
Mungkin sebab kita ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama membuatkan pemilik berasa tidak puas hati jadi ketika saya berada di terowong stadium dia cekik tengkuk saya dan tolak ke dinding membuatkan saya tertanya-tanya apa salah saya sedang pemain tengah performed.
Bagaimanapun selepas masuk separuh masa kedua, kita berjaya menang 3-1 jadi apa masalah yang sebenarnya. Tiada isu pun,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kamarul juga memberitahu bahawa Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sering memberi tekanan kepada barisan kejurulatihan dan juga pemain.
Bukan itu sahaja, malah Zamsaham juga dikatakan sering masuk campur dalam urusan pemilihan pemain dalam kesebelasan utama.
“Barisan kejurulatihan sudah setup pasukan kesebelasan utama dan berjaya jadi buat apa nak masuk campur tangan. Untuk apa?.”
Dalam pada itu, Kamarul berkata isu dalaman yang banyak berlaku sebelum ini umpama ‘bom jangka’ yang mana ia hanya menunggu masa untuk meletup dan ia akhirnya meletup jua pada tahun ini.
“Sebenarnya ia seperti ‘bom jangka’ yang mana pada tahun ini ia betul-betul meletup dan apabila ia sudah meletup maka isu-isu sebelum ini mula terbongkar.”
Jelasnya, beliau tidak terkejut dengan apa yang sedang berlaku ketika ini kerana isu yang berlaku di Kelantan sebenarnya sudah berlarutan sejak dari tahun lalu lagi dan pada tahun ini baru isu tersebut terbongkar.