Di slip gaji papar pemotongan EPF, tapi tak bayar – Kamarul Dinis Kamarudin

419

Bekas jurulatih kecergasan Kelantan FC, Kamarul Dinis Kamarudin memberitahu bahawa beliau kini sedang menuntut haknya daripada bekas kelabnya itu apabila gagal membayar potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama lima bulan.

Menurut Kamarul, beliau seperti ditipu oleh pihak pengurusan kelab apabila di slip gaji memaparkan berlakunya pemotongan untuk KWSP, tetapi apabila disemak tiada caruman yang dibuat.


“Saya mahu tuntut bahagian saya sahaja untuk Januari sampai Mei. Bayar lah KWSP kerana itu adalah hak saya, kalau kamu (Kelantan) tidak mahu bayar bahagian kamu tidak mengapa.

Tapi bayar hak saya kerana kamu sudah buat potongan di slip gaji tapi tak dibayar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama turut mengakui banyak pemain menghubunginya untuk mengadu masalah yang berlaku dalam kelab tersebut.

Namun beliau yang sudah tidak bersama Kelantan berkata beliau hanya mampu mendengar rintihan daripada bekas pemainnya tanpa boleh melakukan apa-apa.

“Ada saja pemain yang mengadu dekat saya tapi saya hanya boleh minta mereka bersabar sahaja kerana saya tidak boleh cakap apa-apa sebab tidak lagi berada dalam kelab itu.”

Kamarul berkata pemain akan memberikan prestasi terbaik sekiranya tiada masalah berlaku dalam pengurusan kelab.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai kes samannya dengan pihak kelab di mana beliau berjaya menang apabila pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan surat pengesahan.

“Apa yang Kelantan tuntut kat saya, aduan itu ditolak jadi saya pula bebas untuk failkan balik dan bebas untuk kembali bersuara dengan tuntutan tersebut.

Cuma sekarang ini saya tak buat sebab saya nak lihat dahulu apa tindakan seterusnya, tapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan dari pihak kelab.

Oleh sebab itu, bila satu demi satu isu mengenai kelab itu terbongkar baru saya buka cerita sedikit demi sedikit.”

Sementara itu, Kamarul juga tidak berhasrat untuk hadir pada sesi soal jawab bersama peminat yang akan dianjurkan oleh Zamsaham pada 3 Jun ini, sebaliknya mahu pemilik kelab itu segera menyelesaikan segalam permasalahan yang sedang berlaku.