Bibi Ramjani adalah calon pemilik baru yang terbaik jika Kelantan FC dijual – Peminat The Red Warrior
Baru-baru ini pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberitahu beliau bersedia untuk menjual kelab bola sepak itu sekiranya ada mana-mana pihak mahu mengambil alih pasukan itu, namun sehingga kini tiada siapa yang berminat.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagaimanapun membatalkan niatnya itu selepas tiada pihak yang berminat selain mahu terus kekal sebagai pemilik selepas pertemuan dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bercakap mengenai kemungkinan siapakah yang layak untuk mengambil alih pasukan itu, salah seorang peminat tegar The Red Warrior iaitu Dayang Nur Syahirah merasakan ahli perniagaan Bibi Ramjani adalah individu terbaik untuk kembali menerajui kelab itu.
“Kalau Bibi Ramjani saya rasa adalah individu yang terbaik untuk ambil alih kelab,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa sebelum ini Bibi Ramjani pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selama dua tahun.
Dalam pada itu, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Kelantan terus menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air selepas pelbagai isu timbul membabitkan kelab tersebut dan juga pemilik.
Dari isu pemecatan ketua jurulatih Choi Moon-sik, didakwa tidak bayar gaji dan gaji pemain ditahan 50% dek prestasi hambar serta banyak lagi membuatkan peminat The Red Warrior sendiri tidak senang dengan apa yang berlaku ketika ini.
Bagi seorang lagi peminat yang mahu dikenali sebagai Rapit, beliau turut mempertikaikan peraturan baru yang ditetapkan oleh pihak pengurusan kelab yang tidak membenarkan mereka untuk bertemu dengan pemain.
“Yang jadi masalah apabila ada pihak ketiga untuk komunikasi dan bukannya secara terus. Apabila kita berkomunikasi dengan pihak ketiga, kita tahu apa yang kita sampaikan itu sampai kepada pihak pengurusan tertinggi atau tidak.
Sampai tahap ketika ini pihak pengurusan mengeluarkan arahan tidak membenarkan pemain untuk bertemu dengan peminat selepas tamat perlawanan.”
Sementara itu, Irwan pula berkata beliau tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk Kelantan pada musim ini kerana sedar ini adalah musim pertama mereka kembali ke Liga Super.
“Saya tak letak harapan tinggi sebaliknya berharap pasukan dapat beri saingan dengan pasukan lain yang baru naik ke Liga Super dari Liga Perdana seperti kami. Apa pun saya harap Kelantan akan buat kebangkitan pada pusingan kedua nanti.”